Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pereka grafik Mohd Fahmi Reza hari ini menarik nafas lega selepas Mahkamah Tinggi di Ipoh, Perak mengetepikan hukuman penjara sebulan yang dijatuhkan terhadapnya atas tuduhan memuat naik penghantaran komunikasi palsu, karikatur badut menyerupai pemimpin negara, di akaun Facebook miliknya dua tahun lalu.

Ini berikutan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Radzi Harun yang membenarkan rayuan Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 40, untuk mengetepikan hukuman penjara yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh Norashima Khalid pada 20 Feb lalu.

Mohd Radzi juga mengurangkan hukuman denda yang dikenakan terhadap aktivis itu daripada RM30,000 kepada RM10,000 dan memerintahkannya dipenjara sebulan, jika gagal membayar denda.

Mohd Radzi ketika membuat keputusan itu berkata ​​​​​​setelah meneliti segala keterangan saksi serta Fahmi, maka mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan segala inti pati berkaitan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) tiada sebarang keraguan munasabah.

"Oleh itu, sabitan oleh hakim Mahkamah Sesyen bagi pertuduhan yang dihadapi Mohd Fahmi Reza adalah betul menurut undang-undang dan saya mengekalkan sabitan tersebut," katanya.

Mohd Radzi berkata mahkamah juga telah mengambil kira beberapa laporan media tentang maklumat Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mengenai pindaan yang sedang dibuat terhadap Akta Multimedia dan Komunikasi termasuk Seksyen 233 bagi memansuhkan unsur-unsur yang dikatakan bersifat drakonian.

“Dengan mengambil kira perkara itu, maka saya membenarkan rayuan perayu. Saya dengan ini membatalkan hukuman satu bulan penjara dan denda RM30,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen dan menggantikan hukuman denda RM10,000, jika gagal bayar dikenakan sebulan penjara,” jelasnya.

Beliau turut menasihatkan Mohd Fahmi Reza yang mempunyai ramai pengikut di Instagram, Facebook serta Twitter supaya menghasilkan karya yang memberi impak positif kepada semua masyarakat.

“Melihat kepada penglibatan positif awak, secara peribadi saya ingin mengalakkan awak untuk terus berkarya, saya yakin awak mempunyai bakat yang baik yang boleh digunakan untuk tujuan murni, demi kebaikan dan manfaat kepada bangsa dan negara.

“Namun, jangan dilupa orang pertama yang perlu sentiasa kita tegur adalah diri kita sendiri, dalam menegur juga jangan dilupakan adat susila kita sebagai orang Melayu,” katanya.

Mohd Radzi turut mencadangkan agar RM20,000 yang akan dipulangkan kepada Mohd Fahmi Reza digunakan untuk membeli peralatan melukis dan mengajar lukisan menggunakan kreativiti yang ada kepada anak-anak orang kurang upaya (OKU) serta anak yatim.

Mengikut pertuduhan, Mohd Fahmi Reza didakwa menggunakan akaun Facebook 'Fahmi Reza' di suatu pautan secara sedar dengan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada 8 Feb 2016.

Pautan itu kemudian didakwa telah dibaca di sebuah alamat di Seraya Sdn Bhd, Batu 3, Jalan Jelapang, di Ipoh, pada 2.40 petang, tarikh yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Jabatan Pendakwaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mohd Sophian Zakaria manakala Mohd Fahmi Reza diwakili peguam Syahredzan Johan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS