Kartunis Zulkiflee Anwar Alhaque, atau lebih dikenali sebagai Zunar, memfailkan saman terhadap polis kerana merampas 10 lukisannya ketika pameran di Pulau Pinang pada 2016.

Dalam kenyataan pertuduhannya, Zunar menuntut agar kesemua lukisan itu dipulangkan, pampasan RM380,000 dan permohonan maaf terbuka daripada polis.

Zunar menamakan pegawai penyiasat Rusli Tipu dari ibu pejabat polis Timur Laut di Pulau Pinang, ketua polis negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Serbuan ke atas pameran yang dimaksudkan berlaku di ICT Mall di Komtar, Pulau Pinang yang juga merupakan sebahagian daripada program pengisian Georgetown Literary Festival 2016.

Kebanyakan lukisan Zunar dikatakan mengandungi kritikan terhadap perdana menteri ketika itu, Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor.

Zunar dalam kertas pertuduhannya turut menyatakan bahawa gangguan polis menyebabkan kesulitan, malu dan kehilangan pendapatan kepadanya.

"Plaintif berkata tindakan defendan bersifat balas dendam dan tanpa sebab atau alasan yang munasabah.

"Lukisan plaintif telah didedahkan sepenuhnya dan dijustifikasikan sejak serbuan itu," kata Zunar.

Sekumpulan Pemuda Umno Pulau Pinang sebelum ini turut 'menyerang' Zunar sebelum serbuan polis itu. Bagaimanapun tiada tindakan dikenakan ke atas mereka.

Tidak lama selepas 'serangan' itu, polis merampas lukisan Zunar dan menahan beliau. Zunar sebelum ini sudah beberapa kali menuntut polis memulangkan lukisannya.

Saman Zunar difailkan hari ini di Pulau Pinang. Beliau diwakili oleh Cecil Rajendra.

[Baca berita asal]