Larangan merokok di semua restoran dan premis makanan mendapat perhatian peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang bertanyakan jika peraturan berkenaan boleh menjadi undang-undang tidak munasabah yang mencabar Perlembagaan Persekutuan.

"Yakni, adakah proses kekangan kebebasan perokok ke tahap kemustahilan akan menjadikan undang-undang itu undang-undang yang tidak munasabah ataupun tidak rasional dan secara langsung mencabar kesahihan undang-undang itu di sisi Perlembagaan Persekutuan yang menjejaskan kepentingan perokok sebagai satu golongan Rakyat Malaysia, yang juga sewajibnya mempunyai hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan?," Soal beliau pada hantaran di Facebook.

Haniff berkata tanpa menafikan rokok itu membahayakan kesihatan setakat ini tiada undang-undang yang digubal untuk mengharamkan aktiviti merokok itu sendiri.

Oleh demikian, beliau mempersoalkan larangan merokok ke tahap ketiadaan peluang praktikal untuk merokok di kawasan awam.

"Sememangnya tidak dinafikan bahawa rokok itu membahayakan kesihatan, tetapi ia juga tidak boleh dinafikan bahawa setakat kini, tiada undang-undang yang digubal yang mengharamkan terus aktiviti menjual rokok, mahupun aktiviti merokok itu sendiri, di kalangan rakyat Malaysia, mahupun di dalam negara Malaysia.

"Justeru, ianya adalah satu isu menarik untuk dikaji dan diteliti secara objektif dan rasional jika tanpa gubalan undang-undang yang mengharamkan aktiviti jualan mahupun aktiviti merokok itu sendiri (seperti Akta Dadah Berbahaya yang mengharamkan aktiviti jualan dadah mahupun aktiviti penggunaan dadah), bolehkah pihak berkuasa wujudkan undang-undang yang secara terus-menerus mengekang hak perokok ke tahap ketiadaan peluang praktikal untuk merokok di kawasan awam sama sekali," katanya.

Haniff membuat hantaran tersebut sebagai mengulas laporan Malaysiakini mengenai tiga persatuan pengusaha makanan yang membantah larangan terbaru Kementerian Kesihatan itu.

Larangan merokok ke medan mahkamah?

Terdahulu hari ini, MSCSPGA, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) menganggap keputusan yang dibuat kerajaan sebagai melucutkan hak mereka selaku pemilik perniagaan untuk membuat keputusan.

Presiden MSCSPGA, Ho Su Mong, berkata Kementerian Kesihatan sepatutnya mendapatkan pandangan mereka terlebih dulu sebelum membuat keputusan berkenaan.

"Kedai makan kami bukan milik majlis perbandaran mahupun kerajaan.

"Perokok juga manusia, bukan sampah sarap," kata Ho.

Selanjutnya, Haniff bertanya pendapat perokok jika ingin isu ini ditampilkan di medan mahkamah?

"Hatta, apakah pendapat para perokok lain, yakni sebagai rakyat Malaysia adakah anda ingin persoalan ini ditampilkan di medan mahkamah? Sila jawab, ya ataupun tidak," katanya.

Larang merokok di bangunan parlimen juga

Kementerian Kesihatan pada 11 Oktober lalu memaklumkan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2019.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, yang berkata cadangan berkanaan sudah pun diluluskan di peringkat parlimen dan akan mula dikuatkuasakan tahun depan.

Menurut Lee, arahan larangan merokok di premis makanan itu membabitkan semua restoran dan warung-warung makanan di tepi jalan.

Pada 15 Oktober lalu Kementerian Kesihatan mengisytiharkan seluruh bangunan parlimen termasuk tempat makan dan sudut merokok sebelum ini sebagai kawasan larangan merokok.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mereka yang ingin merokok boleh berbuat demikian di luar bangunan parlimen.

Tindakan menteri telah mendapat kritikan termasuk daripada anggota parlimen.

Bagaimanapun, Dzulkefly berkata pihaknya telah menemui Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof pada 18 Oktober dan bertegas larangan itu tetap diteruskan.