Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Maszlee mahu dedah skandal kementerian pendidikan era BN

Isu Program Susu 1Malaysia (PS1M) yang 'hilang' dari sekolah hanyalah satu daripada banyak skandal dalam kementerian pendidikan ketika era BN, kata menterinya Dr Maszlee Malik.

Dan beliau berikrar akan terus mendedahkan apa yang berlaku dalam kementeriannya dulu sebagai pengajaran agar ia tidak berulang di masa akan datang.

Beliau mengulas isu PS1M yang sepatutnya berjalan sejak Mac lalu tetapi menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, makluman daripada sekolah mendapati ia belum diterima.

"Program itu penuh skandal, kita tahu bagaimana menteri pendidikan lalu (Mahdzir Khalid) berkata tidak tahu tentang kehilangan susu itu.

"Ia sudah gagal dan susu hilang selama setahun. Apabila kita periksa kita pun tak tahu ke mana perginya, dan bukan itu saja (skandal yang ada)," katanya dalam sidang media di Parlimen.

"Mulai sekarang saya akan dedahkan banyak masalah yang berlaku yang ditinggalkan oleh menteri terdahulu Rakyat berhak tahu kerana ia melibatkan duit mereka sebagai pembayar cukai," katanya lagi, sambil memaklumkan akan menubuhkan pasukan kerja untuk menyemak semula projek yang diberikan melalui rundingan terus dan projek yang gagal.

Pada 9 November lalu, Mahdzir berkata beliau "tidak tahu" tentang susu bawah PS1M yang tidak diedar sejak awal tahun ini.

Maszlee juga mengulang kembali kenyataan timbalannya Teo Nie Ching bahawa program itu tidak akan diteruskan untuk tahun ini dan akan dinilai semula berdasarkan peruntukan tahun depan.

"Sudah bulan November. Kita akan lihat sama ada untuk teruskannya pada 2019, dan perlu dibincang lagi," katanya.

PS1M merupakan program di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang sepatutnya mengedarkan susu kotak kepada murid miskin di sekolah.

Untuk rekod, perlaksanaan RMT telah menerima peruntukan RM299 juta daripada kerajaan BN seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2018.

Lihat Komen
ADS