Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Status CEO Bernama diketahui lepas bergabung dengan RTM

Isu lantikan ketua pegawai eksekutif (CEO) Bernama akan dibuat selepas isu penggabungan antara agensi berita nasional itu dan RTM selesai.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata buat masa ini pihaknya sedang berunding bagi mencapai keputusan akhir.

“Kementerian belum buat keputusan mengenai Bernama kerana kita dalam proses penggabungan antara RTM dan Bernama.

"Ia melibatkan sesuatu yang besar, berkaitan korporat yang melibatkan pasukan yang ramai.

“Sudah tentu bila dah dibawa ke kabinet, dan dah ada keputusan dibuat, kita akan putuskan mengenai CEO," katanya.

Menurut Gobind ketika ini beliau sudah memaklumkan hal itu kepada Dr Mahathir Mohamad.

Katanya beliau akan bertemu perdana menteri untuk membincangkan hal berkenaan dengan lebih terperinci tidak lama lagi.

Gobind berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan TM Forum, Digital Transformation Asia, di Kuala Lumpur, hari ini.

Jadi sasaran pembohongan

Sebelum itu Gobind ditanya tentang keluhan bekas wartawan kanan Wan Hamidi Hamid yang mendakwa kerajaan menarik balik cadangan untuk melantiknya menjadi CEO Bernama.

Katanya ia berlaku selepas dia menjadi sasaran pembohongan dan serangan peribadi untuk beberapa lama.

Wan Hamidi baru-baru ini menulis di Facebook:

"Saya telah dimaklumkan bahawa saya tidak akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bernama. Ini terjadi walaupun pada mulanya saya ditawarkan, dipujuk, dan diyakinkan untuk menerima kerja ini di agensi berita kebangsaan itu.

"Saya minta maaf tetapi saya tidak akan menjawab apa-apa pertanyaan, jadi jangan buang masa anda untuk menghantar mesej kepada saya atau hubungi saya mengenai perkara ini.

"Jika anda benar-benar ingin tahu, mungkin anda perlu bertanya lembaga pengelola Bernama atau menteri kabinet, atau orang-orang dan kumpulan kaum, termasuk beberapa media, dan portal berita yang membenci DAP."

Sebelum menjadi menjadi pengarang akhbar rasmi DAP The Rocket Wan Hamidi pernah bekerja dengan pelbagai akhbar sejak lebih 30 tahun lalu.

Lihat Komen
ADS