PEMILIHAN PKR | PKR akan melantik sebuah syarikat pengauditan dalam masa terdekat untuk melakukan audit bebas terhadap keseluruhan proses pemilihan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam kenyataan medianya selepas meyusarat biro politik parti itu malam tadi.

Berhubung isu undi hilang yang dibangkitkan calon ketua Pemuda PKR Akmal Nasir pula, Fahmi menjelaskan bahawa biro politik parti itu akan mengarah syarikat Baker Tilly bagi mengesahkan integriti sistem pemilihan dan memberikan maklum balas pada kadar segera.

“Pada masa yang sama, parti akan beri kerjasama penuh kepada mana-mana agensi penguatkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuat siasatan berkaitan pemilihan parti,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut di parlimen hari ini.

Jelas Fahmi, biro politik PKR juga telah mengarahkan jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) agar segera menyelesaikan isu undi ragu bagi cabang-cabang berkaitan, dengan turut memanggil wakil kedua-dua calon timbalan presiden untuk memerhati proses tersebut.

Dalam kenyataan media sama, Fahmi menjelaskan bahawa mesyuarat biro politik PKR memutuskan untuk menerima keputusan JPP bagi cabang Julau, Pensiangan dan Tawau.

Tambah beliau lagi, kongres Pemuda, Wanita dan Pusat akan diteruskan pada 16 hingga 18 November 2018 seperti yang telah diumumkan sebelum ini.