Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail berkata hukuman mati mandatori bukan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah jenayah dadah.

Katanya, apa yang diperlukan ialah langkah pemulihan terbaik berbanding hukuman yang tidak mencegah jenayah itu daripada terus berlaku.

Walaupun begitu, beliau mengakui langkah pemansuhan hukuman itu perlu diteliti dengan lebih mendalam.

“Apakah mereka (pesalah dadah) perlukan? Pemulihan, daripada letak mereka di dalam penjara dan kemudian gantung mereka sampai mati.

“Kita dah lama macam ini, masalahnya bertambah-tambah. Ia bukan suatu hal yang mudah, tetapi rumit dan kita perlu melihat hal ini (pemansuhan hukuman mati) dengan mendalam” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan hukuman mati terhadap pelaku kes bunuh adik Zara Eleena Omar.

“Saya memang rasa ia jenayah yang tak berhati perut, (lebih-lebih lagi) sebagai emak dan nenek.

“Apakah punca akarnya? Dadah. Bagaimana nak tangani dadah? Bukan dengan sekadar hukuman mati, tetapi lebih menyeluruh.

“Biarpun ada hukuman mati mandatori, ia tidak dapat menghentikan jenayah kejam ini,” katanya lagi.

Azizah turut memaklumkan bahawa perbincangan pendek telah dilakukan dengan menteri undang-undang VK Liew berkenaan hal itu.

Mengakui bahawa rakyat masih terkesan dengan kes Zara baru-baru ini, Azizah memberi jaminan bahawa cadangan pemansuhan hukuman tersebut akan dikaji secara mendalam.

“Kabinet belum memutuskan [...](pemansuhan hukuman mati),” katanya lagi.