Najib: Rombakan kabinet tanda menteri tiada wibawa
Rombakan kabinet sekiranya menjadi kenyataan dalam masa terdekat akan memberikan isyarat jelas bahawa menteri yang dilantik sebelum ini tidak berwibawa.
Menurut bekas perdana menteri Najib Razak, keputusan itu juga tidak mengikut kelaziman kerana dilakukan dalam tempoh setahun selepas pilihan raya umum.
“Tempoh masa dari Mei sehingga sekarang adalah terlalu pendek untuk itu (rombakan kabinet).
“Biasanya rombakan kabinet dilakukan selepas setahun setengah, kalau berlaku dalam sehari dua ini, itu tidak ikut kelaziman di negara kita.
“Ia juga akan membawa tafsiran bahawa menteri-menteri yang dilantik tidak berwibawa atau tidak jalankan tugas seperti mana yang diharapkan,” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.
Ketika ditanya mengenai prestasi anggota kabinet sekarang, Najib berkata ia terpulang kepada rakyat untuk menilainya.
“[...] Awak tak boleh jangka saya beri penilaian tinggi kepada mereka, tapi terpulang kepada rakyat untuk beri mereka penilaian,” katanya.
Terdahulu, PKR dan DAP mengesahkan bahawa mereka tidak ada menghantar cadangan nama untuk sebarang pertukaran dalam kabinet.
“Tiada sesiapa dalam PKR menimbulkan tentang keperluan untuk sebarang perubahan atau cadangan nama baru.
“Jadi, tiada perubahan. Kekal macam sedia kala,” Anwar Ibrahim selaku bakal presiden PKR berkata kepada pemberita di parlimen.
Sementara setiausaha agung DAP Lim Guan Eng juga memberi kenyataan senada kepada pemberita.
“Tiada nama yang dihantar oleh DAP untuk rombakan semula,” katanya.

