Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tuduh pakai baju komunis: Azwanddin tak akan mohon maaf pada Liew
Diterbitkan:  Nov 14, 2018 5:43 PM
Dikemaskini: 9:48 AM

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah enggan memohon maaf kepada Liew Chin Tong berhubung dakwaannya timbalan menteri pertahanan itu memakai "uniform komunis" ketika memeriksa perbarisan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau sebaliknya berkata parti Liew - iaitu DAP - yang sepatutnya memohon maaf kerana menurutnya "mencemuh dan mengeluarkan kenyataan yang bersikap kurang ajar dan berbaur anti Melayu".

"Saya tidak akan membuat permohonan maaf terbuka...Saya juga tidak akan tunduk terhadap ugutan khususnya daripada pemimpin DAP.

"Saya menyeru orang Islam dan Melayu agar sedar dan berani bangkit serta menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyebut beberapa contoh dakwaan kenyataan antiMelayu daripada pemimpin DAP dan ada antaranya yang tidak tepat.

Antaranya beliau mendakwa pemimpin DAP RSN Rayer berkata "Melayu celaka beberapa lagi perkataan kesat" ketika menjadi ADUN Seri Dilema.

Kenyataan sebenar Rayer - seperti yang dibuktikan di mahkamah - adalah "Umno Celaka". Mahkamah Seksyen di Pulau Pinang kemudian memutuskan Umno tidak boleh disamakan dengan Melayu.

Pada 31 Oktober lalu, Liew mendesak Azwanddin memohon maaf kerana menuduhnya memakai uniform komunis, dan menjelaskan ia sebenarnya baju korporat bush jacket yang disediakan kementerian pertahanan.

"Tuduhan JMM itu merupakan satu penghinaan kepada ATM dan kementerian pertahanan.

"Perlu diingatkan bahawa pada tahun 2017, baju korporat warna khaki dicadangkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan akhirnya menjadi pilihan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai pakaian rasmi Sambutan Hari Kebangsaan 2017," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS