Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Dr Muhammad Nur Manuty berpendapat tidak ada keperluan untuknya melepaskan jawatan itu di sebalik pembabitannya bersama PKR.

Bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu berkata pada waktu ini beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam parti politik.

Katanya pada pemilihan PKR kali ini juga beliau tidak menyertai persaingan untuk merebut mana-mana jawatan dalam parti berkenaan.

Malah katanya beliau menolak untuk dilantik menjadi pengerusi PKR Perak seperti sebelum ini.

“Saya tak ada masalah (untuk pegang jawatan di Unisza), saya tak ada pegang jawatan dalam politik," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut bekas pensyarah universiti itu beliau memaklumkan hasratnya untuk tidak memegang jawatan dalam PKR kepada presiden parti, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Muhammad Nur berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu peletakan jawatan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik selaku presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA), yang dilaporkan media pada Isnin lalu.

Pelantikan Muhammad Nur diumumkan Unisza pada 10 Okt untuk tempoh tiga tahun.

Ia menarik perhatian apabila dianggap bercanggah dengan janji Pakatan Harapan (PH) untuk tidak melantik ahli politik ke jawatan di institusi pengajian tinggi negara.

Ditanya mengenai peletakan jawatan Maszlee, Muhammad Nur enggan mengulas lanjut.

Cuma katanya beliau memahami kesibukan tugas seorang menteri.

“Tak ada komen, dia tak (jadi presiden) baguslah, dia menteri jadi dia sibuk,” katanya.

Lihat Komen
ADS