ULASAN | Sesungguhnya Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Rashid Din, timbalannya Azman Hendra dan saya selaku setiausaha, belum pernah walaupun sekali mengubah walau satu angka apatah lagi membuat manipulasi keputusan undi dalam pemilihan PKR 2018.

Kami tiada akses pada data. Had JPP hanyalah pada Borang 13 dan melihat keputusan, itupun selepas tamat masa undian.

Sepanjang undian sedang berjalan, akses pada web keputusan pemilihan ditutup oleh pembangun perisian. Apa sahaja angka keputusan yang kami terima daripada pembangun sistem, itulah yang kami siarkan.

Kami adalah sekumpulan pengurus yang mengendalikan pemilihan parti, bukannya pemain aktif dalam gelanggangnya.

Saya menerima pelawaan untuk turut serta mengendalikan pemilihan ini kerana percaya mampu mengendalikannya dengan sifat siddiq, amanah, tabligh dan fathonah.

Biarlah apa yang mereka mahu katakan, saya yakin Allah SWT lebih tahu tentang segala sesuatu, dan Dia selalu memberikan panduan dan petunjuk melalui kebijaksanaan-Nya.

Kami di JPP tahu siapa yang mahu menipu, melakukan provokasi dan membuat manipulasi data atau manipulasi pengundi. Kami juga - dalam kes tertentu - ada dokumen yang boleh dijadikan bukti, tetapi kami tidak mahu mendedahkannya demi menjaga aib sesama insan.

Apatah lagi pemilihan ini seringkali diungkapkan sebagai hanya melibatkan kita yang mengaku anggota keluarga besar PKR.

Sudah banyak percubaan menipu daripada kalangan calon yang telah JPP patahkan. Apabila mereka gagal membuat penipuan, JPP dan sistem dipertikaikan untuk menimbulkan keraguan awam.

Hari ini gambar kami diperlekehkan melalui lukisan kartun dan mula tular di media sosial. Malah kami diserang secara peribadi melalui media massa.

Lebih buruk lagi apabila seorang anggota pasukan kami, Alvin Teoh, dituduh secara melulu, ditangkap dan digari, diaibkan di media sosial dan massa, padahal beliau hanya menjalankan amanah yang diberikan sejak hari pertama menjalankan tugas di JPP.

Saya insaf dan akui yang saya bukan org politik yg mempunyai cita-cita besar dalam gelanggang ini. Sekalipun tidak pernah berpeluang bertanding dalam pilihan raya.

Ya, memang saya menyertai parti politik dan terlibat dalam hal politik, namun sejujurnya saya tiada cita-cita untuk menjadi pemimpin politik besar.

Keyakinan saya tentang gambaran besar - the big picture - tentang islah dan agenda reformasi yang dinukil Anwar Ibrahim hampir 30 tahun lalu, dan kemudian insiden pemecatannya pada September 1998 dan disusuli tragedi mata lebam, telah mengheret saya jauh ke gelanggang politik sehingga hari ini.

Untuk apa semua ini?

Tidak lain hanya kerana yakin dan cita kepada kebenaran dan keadilan, serta bencikan kezaliman, fitnah dan penipuan.

Semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk semua.

*Tulisan dipetik daripada laman Facebook Ismail, dan disunting untuk kejelasan.


ISMAIL YUSOFF ialah setiausaha jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) PKR dan anggota Dewan Negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.