Ketua audit negara dan SPRM dalam proses anugerah tender - KM
Bermula tahun hadapan, kerajaan negeri Sarawak akan melibatkan Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mesyuarat serta proses penganugerahan tender di bawah Lembaga Tender Pusat Negeri.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mematuhi semua prosedur kewangan yang telah ditetapkan di bawah undang-undang dan peruntukkan kewangan seperti yang diarahkan oleh Perbendaharaan.
“Dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, kita tidak mahu integriti dan keikhlasan kita dipersoalkan.
“Justeru itu, kita jemput Ketua Audit Negara dan SPRM untuk turut serta dalam mesyuarat dan proses penganugerahan tender agar ketelusan dalam pentadbiran di negeri ini tidak dipersoalkan,”katanya semasa sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Abang Johari, yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi negeri berkata, beliau tidak mahu dakwaan rasuah terhadap dirinya dan barisan menteri Kabinet negeri berterusan sehingga mewujudkan persepsi buruk dalam kalangan rakyat.
“Tanpa sebarang bukti mengenai salah laku itu, ia sekadar memberikan persepsi negatif rakyat kepada kepimpinan kerajaan negeri,” katanya.
-- BERNAMA

