Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Raja Sara Raja Petra, 30, yang merupakan satu-satunya calon wanita yang bertanding bagi jawatan naib presiden pada pemilihan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada Sabtu ini mahu melihat tranformasi dalaman parti itu.

Beliau yang menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Ketua Wanita Gerakan semasa pencalonan Sabtu lepas berpendapat parti itu memerlukan imej baharu yang mesra dengan kaum belia.

Menurut Raja Sara, beliau membuat keputusan untuk bertanding bagi mewakili suara wanita dan belia selain berhasrat memulihkan imej parti yang tewas teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 9 Mei lepas.

"Gerakan kehilangan semua kerusi pada PRU14, jadi Gerakan memerlukan penjenamaan semula. Seperti yang kita tahu, sebab utama kita kalah adalah kerana undian daripada golongan belia merosot teruk," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Bagaimanapun, anak kepada blogger Raja Petra Raja Kamarudin itu turut sedar menawan hati golongan belia masa kini bukan satu yang mudah kerana mereka kurang berminat dengan politik.

"Selain fokus pada wanita, salah satu manifesto saya adalah untuk menarik seramai mungkin penyertaan golongan belia dalam parti ini. Jika tidak terlibat sekalipun, sekurang-kurangnya mereka perlu ambil tahu perkembangan semasa akan apa yang berlaku di negara ini," katanya.

Selain Raja Sara, jawatan naib presiden menyaksikan pertembungan lapan penjuru membabitkan Baljit Singh, G Parameswaran, Syed Abdul Razak Syed Long Alsa, V Prabagaran, Khoo Shiaw Lee, Choong Vee Hing dan Yap Yeen Ming.

Ditanya akan peluang beliau, katanya: "Bagi saya, semua calon adalah pencabar utama apatah lagi mereka semua adalah senior dalam parti. Keputusan itu terletak di tangan semua ahli Gerakan yang akan mengundi. Saya percaya anggota-anggota akan mengundi untuk perubahan sebenar demi kebaikan Gerakan,"

Seramai 1,500 perwakilan daripada cawangan parti, bahagian dan negeri akan memilih pemimpin mereka dalam Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gerakan yang akan berlangsung pada 17 Nov ini.

Pada PRU14, Gerakan kalah semua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN yang ditandinginya. Kini, Gerakan merupakan sebuah parti bebas selepas mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 23 Jun lepas dan sedang berusaha mengenal pasti hala tujunya dalam landskap baharu politik negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS