Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

PAS dan Umno Kelantan melalui sayap pemuda masing-masing mengajak rakyat negeri itu supaya turun menunjukkan bantahan terhadap ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Acara demonstrasi aman bantahan Icerd itu dijadualkan berlangsung di Pekarangan Masjid Muhammadi, Kota Bharu, selepas solat Jumaat, esok.

Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri, Nazman Che Ibrahim berkata, kerjasama antara dua parti itu bermatlamat bagi memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Kelantan mengenai bahayanya ratifikasi Icerd

"Ia juga sebagai signal jelas kita kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang secara wewenang akan menggunakan parlimen untuk melampiaskan kepentingan sesetengah pihak dalam hal ini khasnya Dap dan Hindraf.

"Kita berharap ia akan menjadi satu tekanan kepada kerajaan persekutuan supaya tidak tunduk kepada saranan sesetengah pihak untuk ratifikasi Icerd," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu banyak pihak tampil membantah cadangan ratifikasi Icerd selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dilaporkan berkata kerajaan Persekutuan komited untuk mengesahkan enam konvensyen hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), termasuk Icerd pada suku pertama tahun hadapan.

Tangan ghaib pecah belah perpaduan

Bagaimanapun Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kemudiannya dilapor berkata rundingan melibatkan semua kaum akan dilakukan sebelum meratifikasi Icerd dan mengakui ia bukan perkara mudah memandangkan Malaysia merupakan negara dengan penduduk berbilang kaum dan masing-masing dengan kepentingan tertentu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor berkata, pihaknya dan Pemuda PAS Kelantan bekerjasama dalam isu ini bagi menolak sepenuhnya cadangan Waytha Moorthy.

"Ia memberi gambaran seolah-olah ingin mencabar perlembagaan negara dan persetujuan kontrak sosial antara kaum, semasa kita ingin mencapai kemerdekaan dahulu. Tidak timbul langsung soal diskriminasi kaum di Malaysia kerana semangat toleransi yang tinggi di antara kaum telah terbukti sebelum ini.

"Kita bimbang adanya tangan-tangan ghaib yang ingin memecahbelahkan perpaduan rakyat Malaysia sebelum ini dengan mengiktiraf satu konvensyen yang nyata lari daripada landasan perlembagaan Malaysia.

"Justeru, kami mengajak seluruh rakyat Kelantan untuk tunjukkan bantahan bahawa kita tidak sesekali akan berkompromi dalam perkara ini," katanya.

Tambah beliau, alasan menteri terbabit yang berpendapat bahawa kesan baik Icerd ini adalah untuk menarik pelabur asing adalah amat dangkal sama sekali.

"Kami bimbang akan ada ketidakpuasan hati daripada kaum Melayu dan bumiputera akibat ratifikasi Icerd yang nyata tidak relevan untuk masyarakat di Malaysia.

"Jadi kita menyeru seluruh rakyat tanpa mengira kaum, untuk bersatu dalam hal ini dengan menolak sekeras-kerasnya Icerd demi menjaga keharmonian Malaysia," kata Noor Hariri. 

Lihat Komen
ADS