Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Skim FundMyHome untungkan pelabur, pemaju - Khairy
Diterbitkan:  Nov 16, 2018 1:07 AM
Dikemaskini: 5:07 PM

Skim pemilikan rumah FundMyHome yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2019 akan menguntungkan pelabur dan pemaju perumahan, kata Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Katanya, skim itu tidak menguntungkan pembeli rumah pertama yang terdiri daripada orang yang berpendapatan rendah dan golongan muda yang mahu membeli rumah.

“Skim dia lebih kurang macam ini, kalau dapat bayar 20 peratus daripada harga rumah tersebut, maka kita akan dapat duduk rumah itu selama 5 tahun.

“Kita tak akan memiliki rumah itu. 80 peratus rumah itu akan dimiliki oleh pelabur-pelabur yang kita pun tak tahu siapa dia,” katanya.

Khairy yang dikenali sebagai KJ berkata demikian dalam majlis Wacana 3.0: Inisiatif Ekonomi Rakyat anjuran Penerangan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.

Menerusi program FundMyHome, pembeli rumah perlu menyediakan 20 peratus harga rumah selain bayaran guaman sama ada melalui wang sendiri atau pinjaman bank.

Bayaran baki sebanyak 80 peratus pula dibantu dana oleh pelabur dan pembeli rumah juga boleh menggunakan wang akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing.

Pada 12 November lalu, Lim berkata kerajaan hanya menawarkan alternatif kepada rakyat Malaysia bagi memiliki rumah melalui program ini namun terpulang kepada rakyat sendiri untuk memutuskan.

"Ini merupakan alternatif lain dan kita mahu beri rakyat pilihan," katanya.

Sementara itu, Khairy turut mempersoalkan pihak yang akan mendapat manfaat daripada program perumahan tersebut.

“Ini untuk siapa? Ini untuk pemaju, untuk orang kaya yang melabur bukan untuk orang miskin, orang yang berpendapatan rendah, orang muda yang nak beli.

“Saya nak bagi tahu kerajaan orang muda dia nak bayar deposit 10 peratus pun tak ada, ini nak bayar 20 peratus mana nak cari? 10 peratus pun dia tak ada,” katanya.

Beliau turut menyindir kerajaan Pakatan Harapan berhubung program FundMyHome terbabit.

“FundMyHome is not my home. 20 percent is not my home, is somebody else home,” katanya yang disambut tepukan penonton.

Lihat Komen
ADS