Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tanding Rantau? Pembohongan kem Azmin, kata Rafizi

Rafizi Ramli menafikan akan bertanding bagi dewan undangan negeri (DUN) Rantau susulan arahan mahkamah pilihan raya hari ini yang mengarahkan pilihan raya semula diadakan bagi kerusi berkenaan.

Bercakap kepada Malaysiakini, bekas anggota parlimen Pandan itu juga menyalahkan penyokong timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

"Itu satu pembohongan dari orang di kem Azmin.

"Tak benar sama sekali. Ia berniat untuk merosakkan imej saya," katanya kepada Malaysiakini melalui mesej pesanan ringkas.

Rafizi, yang mencabar Azmin bagi jawatan timbalan presiden, mengulangi bahawa beliau tidak akan memegang jawatan awam buat masa ini.

Tambah Rafizi, PKR seharusnya mencalonkan Dr S Streram sekali lagi bagi kerusi berkenaan.

"Streram sudah bekerja keras untuk berkhidmat kepada penduduk di kawasan itu. Beliau jadi mangsa apabila dihalang untuk menjadi calon dalam pilihan raya umum lalu.

"Orang terbaik bertanding di Rantau ialah Streram. Dan saya akan berkempen untuk beliau," katanya.

Sebelum ini, terdapat khabar angin yang mengatakan Rafizi akan bertanding bagi kerusi DUN Rantau dan dikatakan seterusnya akan menggantikan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Pada pilihan raya umum lalu, bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan menang tanpa bertanding kerusi berkenaan selepas Streram dihalang masuk ke pusat pencalonan.

Bagaimanapun, mahkamah pilihan raya di Seremban hari ini membatalkan keputusan berkenaan.

Sementara itu, Afif Bahardin yang ditemui pada sidang media sejurus Kongres PKR 2018 bagi sayap Pemuda selesai berkata Rafizi seharusnya mencadangkan nama dari sayap Pemuda.

"Jika Rafizi tak mahu kerusi Rantau, saya ingat Rafizi boleh cadang calon daripada sayap Pemuda untuk tanding kerusi itu," katanya pada sidang media yang turut disertai ketua Pemuda PKR yang baru Akmal Nasir.

Akmal pula menyatakan sokongan agar calon asal DUN Rantau pada pilihan raya umum (PRU) lalu, Dr S Streram dicalonkan semula.

"Saya tidak menolak kemungkinan sayap Pemuda memberikan nama calon, tapi usaha Streram perlu dihargai kerana dia yang memfailkan petisyen berkenaan," kata AKmal yang juga anggota parlimen Johor Bahru.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS