KONGRES PKR | Saifuddin Nasution Ismail berkata PKR selaku parti yang berada dalam kerajaan tidak boleh membiarkan pembangkang menentukan agenda yang menjadi perbincangan awam.

"Sudah enam bulan kita jadi kerajaan, tajuk paling banyak dipaparkan di media adalah perkahwinan kanak-kanak, LGBT, Oktoberfest, Icerd (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum).

"Kenapa kita mesti benarkan lawan politik mengolah agenda, membawa kita menari di gelanggang mereka?" soalnya ketika berucap di Kongres PKR ke-13 di Shah Alam, hari ini.

Saifuddin yang merupakan setiausaha agung PKR penggal ini berkata parti itu sepatutnya membawa rakyat untuk melihat usaha kerajaan dalam mebanteras rasuah dan "menterjemah agenda reformasi".

Dalam senarai isu yang dinyatakan, ratifikasi Icerd menjadi perkara paling hangat ketika ini dengan bantahan daripada pembangkang atas sebab bimbang kedudukan Melayu dan Islam akan terancam.

PAS dan Umno malah bakal menganjurkan perhimpunan bersama untuk membantahnya pada awal bulan depan.

'PKR tak tergesa-gesa'

Sementara itu, Mohamed Azmin Ali dalam ucapannya berkata PKR tidak tergesa-gesa ke arah ratifikasi Icerd.

Katanya lagi, sekian lama dasar dan perjuangan PKR adalah untuk memastikan pembahagian ekonomi saksama kepada semua kaum di negara ini.

"Dasar ekonomi yang diperkenal Anwar Ibrahim bukan berasaskan kaum, tetapi keperluan setiap rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan budaya.

"Kita telah melakukannya, jadi jangan tunduk kepada kuasa besar yang mahu mengajar kita, kerana kita dalam PKR perlu berbangga dengan pimpinan yang telah lama melaksanakannya.

"Orang Melayu, bumiptera, tak perlu risau kerana kita (PKR) tidak tergesa-gesa untuk ratifikasi Icerd kerana sudah melaksanakan beberapa prinsip utamanya," katanya lagi.