Bersedia tawan Sarawak, pesan Wan Azizah
Dalam ucapan terakhir sebagai presiden PKR hari ini, Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa anggota parti untuk melihat ke hadapan dan menumpukan pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak pada 2021.
Bercakap pada Kongres Nasional PKR ke-13 di Shah Alam, Selangor, Wan Azizah berkata meskipun PRK akan diadakan lagi setahun, semua pemimpin perlu bersedia membantu jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH).
"Ini bagi memastikan nasib rakyat Sarawak lebih dijaga apabila kita berjaya menawan negeri itu, seperti yang terjadi di Sabah.
"Bukan hanya di Sarawak, tapi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis juga perlu membuat persediaan awal (bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15)," katanya.
Wan Azizah turut menggesa agar pemimpin PKR dan anggota parti terus menghampiri rakyat di Sarawak.
"Kita perlukan lebih banyak penglibatan rakyat. Jangan ketepikan rakyat di negeri itu. Mereka juga perlu dijaga," katanya.
Selain itu, tambah timbalan perdana menteri itu, anggota parti di peringkat negeri menyokong dasar, program dan agenda kerajaan persekutuan.
"Tiada masalah mengkritik dan mempunyai pandangan berbeza sekiranya ia membantu mengatasi kelemahan, tapi tugas sebenar kita adalah memastikan kejayaan dan menjelaskan dasar serta program kerajaan kepada rakyat," katanya.

