Perdana Menteri hari ini sekali lagi menyalahkan guru-guru yang berpolitik dengan menyemai semangat membenci kerajaan sebagai punca kemerosotan akademik dan kelemahan pegangan agama pelajar Melayu.

"Ada guru yang lebih mengutamakan politik daripada pengajaran ilmu yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Bermacam cara digunakan untuk menyemaikan kebencian kepada kerajaan hingga penuntut tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran sebenar," kata Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pagi ini.

"Ada guru agama yang terlalu menekan politik membenci kerajaan sehingga ajaran Islam yang sebenar tertinggal sama sekali. (Akibatnya,) pelajar tidak memahami ajaran Islam dan akidah mereka rosak sama sekali."

Berucap ketika merasmikan Kongres Pendidikan Melayu kali pertama di Kuala Lumpur pagi ini, beliau berkata kerajaan bagaimanapun tidak bebas untuk bertindak terhadap golongan guru yang berbuat demikian kerana tindakan itu nanti akan dijadikan isu politik.

"Jika kerajaan bertindak ke atas guru yang tidak bertanggungjawab, ada pihak yang akan mempertahankannya. Dia (guru) sendiri akan aktif berkempen untuk membencikan kerajaan," katanya.

"Peguam tertentu daripada parti (pembangkang) tertentu menunggu sahaja untuk mempertahankan guru berkenaan. Setahun, dua tahun akan berlalu sebelum pengadilan dibuat. Akhirnya hukuman yang ringan diberikan (kepada guru itu) yang tidak memberi apa-apa kesan."

Belajar ketidak-Islaman kerajaan

Malah beliau juga mendakwa "undang-undang negara juga memberi perlindungan luar biasa kepada pegawai kerajaan yang cuai."

Selain itu, Dr Mahathir juga mendakwa kerajaan gagal mengatasi pencapaian rendah pelajar Melayu kerana sikap kaum itu yang lebih mengutamakan pendidikan agama di sekolah-sekolah swasta.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan mendapati 30 peratus daripada murid sekolah rendah - kebanyakan lelaki - tidak meneruskan pelajaran ke sekolah menengah kerajaan.

"Mungkin mereka berpendapat pelajaran agama di sekolah kebangsaan terlalu cetek dan tidak mencukupi. Tetapi sebenarnya pelajaran yang disampaikan tidak tertumpu kepada agama Islam. Ramai daripada mereka hanya belajar tentang ketidak-Islaman kerajaan," dakwanya lagi.

Tambahnya, hampir semua pelajar itu menyertai politik pembangkang dan mereka dikawal agar tidak terdedah kepada pandangan kerajaan.

Perdana Menteri menyeru peserta kongres itu agar tidak terlalu banyak berdebat, mengemukakan cadangan-cadangan sahaja, dan kemudian menanti kerajaan mengambil sesuatu tindakan susulan.

"Jika mereka benar-benar berasa bertanggungjawab, mereka harus bertindak sendiri. Saya tahu seribu tindakan yang boleh dilakukan oleh mereka (guru)," katanya.

Persidangan dua hari itu dianjurkan oleh Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat dan Kumpulan Melayu Prihatin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).