Paling Popular
Terkini

Penyiasat dari pasukan antipengubahan wang haram hari ini menyoal siasat isteri Najib Razak bagi mendapatkan keterangannya mengenai pelbagai barang kemas dirampas baru-baru ini.

Kali ini Rosmah Mansor dilaporkan disoal siasat anggota polis selama lebih empat jam.

Sumber memberitahu Malaysiakini Rosmah tiba di bangunan Menara KPJ di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur kira-kira jam 9.40 pagi.

Katanya Rosmah hanya meninggalkan kawasan itu kira-kira jam 2 petang tadi.

Difahamkan kehadiran Rosmah hari ini ialah bagi membantu siasatan polis berhubung kes yang sebelum ini turut menyaksikan anaknya - Norashman Najib dan Riza Aziz - dipanggil ke situ pada bulan lalu.

"Beliau datang pagi ini dan memasuki pejabat melalui bangunan parkir kereta di tingkat empat," kata sumber itu.

Hujung bulan lalu Rosmah tiga beranak sudah disoal siasat polis berhubung pemilikan dan pembelian pelbagai barang kemas yang sebelum ini dirampas polis di sebuat premis ada kaitan dengan Najib.

Kes kontrak kerajaan

Mereka disoal siasat selama lebih tiga jam.

Kali ini bagaimanapun hanya Rosmah yang dipanggil memberi keterangan.

Jun lalu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Amar Singh mendedahkan dalam siasatan polis terhadap isu 1MDB polis merampas barangan kemas bernilai kira-kira RM440 juta.

Antaranya termasuk 1,400 utas rantai leher, 2,200 cincin, 2,100 gelang, 2,800 anting-anting dan 14 tiara.

Selain itu polis juga menyita 567 beg tangan yang bernilai lebih RM51.3 juta.

Pada 15 Nov lalu Rosmah didakwa meminta suapan sebanyak RM187.5 juta daripada sebuah syarikat sebagai balasan bagi bantuannya memperolehi kontrak kerajaan bernilai RM1.25 bilion.


Baca DOJ: Kek untuk puan bos jadi kod rahsia Jho Low


Menurut pendakwa Rosmah hanya menerima sebahagian daripada jumlah yang dimintanya.

Sumber memberitahu Malaysiakini siasatan masih berjalan dan belum sampai ke peringkat akhir.

"Seperti yang kamu tahu, jumlah barangan yang dirampas begitu banyak.

"Polis perlu menelitinya satu demi satu," katanya.

Sumber terbabit menyatakan Rosmah akan dipanggil lagi untuk membantu siasatan tidak lama lagi.

"Kemungkinan besar minggu depan, tapi tarikh belum ditetapkan," katanya.

Menurut sumber yang dekat dengan siasatan berkenaan, sepatutnya Rosmah datang minggu lalu tetapi temu janji mereka ditangguhkan apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga mahu mendapatkan keterangan isteri Najib itu.

Satu sumber lain menyatakan, pada pertemuan lalu Rosmah dikatakan gagal memberi penjelasan terperinci kepada polis mengenai bagaimana barang kemas terbabit boleh diperolehinya.

"Rosmah mendakwa sebahagian daripada barangan kemas itu dihantar ke rumahnya untuk dilihat ketika beliau tiada.

"Jadi beliau perlu memberi maklumat lanjut mengenai hal itu," katanya kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS