Paling Popular
Terkini

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan yang mengatakan kerajaan berhasrat menggabungkan Felda dan Felcra.

"Tidak ada rancangan sebab semua usaha untuk memulihkan Felda khususnya pengurusan kewangan dan pengurusan perladangan akan berdasarkan Kertas Putih yang akan dibentangkan," kata Azmin ketika ditemui pemberita di lobi parlimen selepas ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan The Edge yang memetik sumber sebagai berkata rancangan penggabungan berkenaan merupakan salah satu daripada tiga cadangan yang diusulkan bagi memulihkan kewangan Felda.

"Kita akan dapatkan maklumat secara terperinci dan setelah dibentangkan di parlimen, kita akan mengambil tindakan sewajarnya.

"Tidak ada perancangan penggabungan (Felda) dengan Felcra," kata Azmin.

Sabtu lalu, The Edge memuat naik petikan artikel dengan perincian dakwaan penggabungan berkenaan dan dua cadangan lain - yang akan disiarkan dalam edisi terbaru minggu ini.

Dalam ucapan penggulungannya pada Kongres PKR semalam, Azmin, yang berjaya mempertahankan jawatan timbalan presiden, mengesahkan bahawa Kertas Putih Felda akan dibentangkan 10 Disember.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS