Lupakan Icerd, tangani kebimbangan kelas pekerja - PSM
Kerajaan perlu memberi tumpuan untuk meredakan kebimbangan kelas pekerja di negara ini sebelum mahu meratifikasi Penghapusan Segala Bentuk Diskrimasi Kaum (Icerd), kata pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Nasir Hashim.
"PSM sangat merasakan bahawa cabaran paling besar kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah untuk melepaskan kebimbangan di kalangan majoriti orang Melayu bahawa keistimewaan mereka akan terjejas apabila Icerd ditandatangani.
"Adalah salah untuk menganggap bahawa kebimbangan terhadap Icerd dibangkitkan oleh pemimpin Umno dan pemimpin PAS semata-mata demi keuntungan politik mereka.
"Ini juga merupakan kebimbangan sebenar kaum marhaen Melayu - petani, pekebun kecil, peniaga kecil, kakitangan kerajaan peringkat rendah - yang selepas 61 tahun dasar berasaskan kaum dilaksanakan merasakan bahawa mereka masih ketinggalan dalam kemajuan ekonomi negara," kata Dr Nasir dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dr Nasir, dasar berasaskan kaum yang dilaksanakan Umno BN selama 61 tahun telah meluaskan jurang pendapatan di kalangan orang Melayu dan hanya memperkayakan segelintir 20 peratus daripada kaum berkenaan.
Oleh itu, katanya kelas pekerja Melayu yang masih bergelut secara ekonomi merasakan mereka masih memerlukan hak keistimewaan tersebut.
Beliau berkata itulah sebabnya golongan ini bimbang Icerd mungkin akan menghapuskan hak keistimewaan yang sepatutnya diperoleh mereka.
"PSM percaya jalan ke hadapan untuk Malaysia adalah menghapuskan semua bentuk diskriminasi berdasarkan kaum, tetapi mesti ada tindakan afirmatif berdasarkan kelas.
"Agenda sosial yang tidak mengira kaum akan dapat menyelesaikan masalah sosial ekonomi dalam masyarakat dan menyingkirkan segelintir Melayu yang mendapat manfaat daripada dasar berasaskan kaum selama ini," katanya.
Dr Nasir berkata kerajaan PH harus memastikan bahawa ia tidak mengulangi kesilapan dasar berasaskan kaum yang diperkenalkan Umno BN yang hanya meningkatkan jurang di kalangan majoriti orang Melayu.
"PSM mencadangkan agar PH turun ke peringkat akar umbi di kalangan kelas pekerja, petani, penoreh, pekebun kecil dan peniaga kecil untuk memberikan keyakinan bahawa tindakan afirmatif berasaskan kelas akan diteruskan bagi membantu mereka untuk mencapai sasaran dan cara yang lebih berkesan," katanya.

