Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UKM: Penganjur tak tempah sudut pidato untuk kuliah Isham Rais

Universiti Kebangsaan malaysia (UKM) menafikan dakwaan menghalang kuliah Hishamuddin Rais malam ini, sebaliknya menjelaskan program itu terpaksa dibatalkan kerana tempat ia diadakan sudah ditempah oleh sekumpulan pelajar lain.

Naib Canselor UKM Dr Noor Azlan Ghazali mengulas program aktivis sosial itu yang dijadual berlangsung di Sudut Pidato UKM di Bangi, Selangor, pada 8.30 malam tadi, tetapi dibatalkan pihak pentadbiran.

Noor Azlan berkata universiti itu tiada masalah untuk membenarkan Hishamuddin berucap di dalam kampusnya.

Namun, katanya, pentadbiran universiti tiada rekod tentang program yang menampilkannya, pada masa sama kumpulan pelajar lain sudah pun menempah sudut pidato untuk mengadakan program pada waktu tersebut.

"Kami menggalakkan pelajar untuk datang dan bercakap (di sudut pidato), tetapi semua program pelajar perlu didaftarkan dengan betul, terutama jika melibatkan jemputan dari luar.

"Ia bukan sangat untuk memeriksa program, tetapi untuk memastikan perkara seperti ini dapat dielakkan. Ada kala banyak pihak yang mahu menggunakan sesuatu tempat pada waktu yang sama.

"Kami mahu memastikan keselamatan dalam keadaan baik, dan ada orang yang bertanggungjawab terhadap program yang diadakan. Sekurang-kurangnya kita ada maklumat (program)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Noor Azlan juga berkata UKM tiada masalah untuk menyahut saranan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik agar universiti terbuka dengan wacana.

"Hanya kita perlukan sedikit proses untuk memastikan semuanya berjalan dengan baik," katanya lagi.

Program bertajuk Reformasi Struktural: Mahathir vs Anwar lagi? itu dianjurkan kumpulan pelajar dan pensyarah UKM, Diskopi.

Memetik The Malaysian Insight, jurucakap penganjur Mohamad Azan Safar mengaku tidak memaklumkan program itu kepada pentadbiran UKM tetapi berkata ia telah diadakan sebanyak dua kali pada tahun ini tanpa masalah.

“Kami memang tidak maklum secara rasmi, kita anggap ia tidak lebih daripada diskusi wacana ilmu," katanya ketika dipetik.

Hishamuddin dalam kenyataan berkata beliau kesal kerana program seperti itu masih disekat dalam era 'Malaysia baru'.

"Universiti adalah tempat segala bentuk ilmu dibentang, dibincang, ditolak atau diterima," katanya.

Lihat Komen
ADS