Sepuluh peguam mewakili PAS yang sedang membincangkan persiapan akhir petisyen pilihanraya Pengkalan Pasir, bergegas menyelamatkan diri apabila hotel tempat mereka bermesyuarat di Kota Bharu terbakar petang tadi.

Anggota exco kerjaan negeri Takiyuddin Hassan berkata, kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu memusnahkan bilik bersebelahan bilik yang diduduki peguam-peguam berkenaan.

Katanya, bilik itu terbakar secara tiba-tiba menyebabkan kumpulan peguam berkenaan dipindahkan ke hotel lain atas faktor keselamatan.

PAS akan menghantar petisyen pilihanraya kecil 6 Disember itu ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu jam 10 ini, katanya.

Menurut laporan Bernama, jurucakap Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya memadamkan kebakaran itu dalam masa setengah jam selepas menerima panggilan jam 6.40 petang.

Katanya punca kebakaran masih disiasat.

Pada pilihanraya kecil itu, calon Barisan Nasional Hanafi Mamat yang mendapat 47,422 undi mengalahkan calon PAS Hanifa Ahmad dengan majoriti 134 undi. Calon bebas Datuk Ibrahim Ali mendapat 415 undi.