'PBT rujuk DBP dalam setiap hal berkaitan bahasa'
Bekas ahli Majlis Bandaraya Shah Alam Ahmad Dusuki Abdul Rani berkata setiap isu berkenaan bahasa, termasuklah pada papan tanda, akan dirujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
"Ia sudah dibincangkan dengan DBP. Pihak berkuasa tempatan akan merujuk semua hal berkaitan bahasa dengan mereka," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
DBP menetapkan bagi papan tanda dwibahasa, saiz bahasa kebangsaan perlu 30 peratus lebih besar berbanding bahasa lain dan perlu disemak badan itu dahulu.
Dusuki yang menjadi ahli majlis MBSA pada penggal lalu berkata penggunaan bahasa Cina pada papan tanda di situ sudah lama diluluskan.
"Papan tanda itu diluluskan pada 2011, saya belum jadi ahli majlis ketika itu," katanya lagi.
Menurut Bernama pula, MBSA berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Selangor yang diadakan pada 13 Januari 2017.
MBSA berkata penggunaan nama jalan di kawasan kampung tradisi menggunakan tulisan Jawi manakala di kawasan kampung baru menggunakan tulisan bahasa Cina, bersesuaian dengan komuniti penduduk di kawasan tersebut.
Isu itu dibangkitkan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) Dr Saleeh Rahamad yang menggesa papan tanda nama jalan perlu dikekalkan dalam bahasa Melayu - sebagai bahasa kebangsaan - dan tulisan jawi.
Namun ia dianggap selesai selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar papan tanda itu diturunkan dan digantikan dengan bahasa Melayu secepat mungkin.
Semalam, MBSA mula melakukan kerja-kerja menurunkan papan tanda dan dijangka selesai dalam jangka masa terdekat.

