Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Dewan Rakyat hari ini tegang dengan desakan kepada Menteri Hal Ehwal Luar Negari Saifuddin Abdullah dari wakil rakyat pembangkang dan kerajaan berhubung isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) berulang kali mencelah untuk mendesak berhubung isu Icerd ketika Saifuddin menyampaikan ucapan penggulungan peringkat dasar Belanjawan 2019.

Tajuddin melabel Saifuddin sebagai "liberal" dan menuduh beliau sebagai "sedia jual orang sendiri".

Wakil rakyat kerajaan termasuk Wong Shu Qi (PH-Kluang) kemudian menggesa Tajuddin menarik balik kenyataannya yang disifatkan sebagai berniat jahat.

Tajuddin menjelaskan bahawa yang dimaksudkannya adalah "menjual orang sendiri secara politik".

"Tanya pada orang Melayu di luar sana," katanya.

Bagaimanapun, timbalan speaker Rashid Hasnon tidak mengendahkan perkara itu.

Cadangan meratifikasi Icerd menjadi isu kontroversi di Malaysia dengan pihak yang membantah menyifatkan konvensyen berkenaan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan berhubung hak istimewa bumiputera.

Isu berhubung Icerd timbul selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September lalu bahawa Malaysia akan meratifikasi konvensyen berhubung hak asasi manusia.

Selain dengan Saifuddin, Tajuddin juga bertikam lidah dengan Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) selepas Willie berkata hanya "bumiputera elit" yang mendapat manfaat daripada hak istimewa bumiputera.

"Kalau anda mahu melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) pun, kena ada duit masuk baru dapat dividen.

"Sebenarnya hanya bumiputera elit sahaja yang boleh lakukan perkara ini, yang di bawah ini miskin," kata Willie.

Namun, Tajuddin bukan satu-satunya anggota parlimen yang menyuarakan bantahan terhadap Icerd.

Presiden PKR Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) dan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) juga menggesa Saifuddin menangguhkan rancangan berhubung Icerd.

Jelas Anwar, walaupun PH komited dengan perjuangan untuk kesamarataan, perincian semula yang lebih lanjut diperlukan berhubung isu Icerd.

"Kita harus memperincikan semula dengan mengambil kira kebimbangan sebahagian besar rakyat, selaras dengan apa yang disebut perdana menteri (bahawa ratifikasi ICerd perlu ditangguhkan), saya mencadangkan kita tidak teruskan cadangan ini sehingga perkara-perkara prinsip ini dimuktamadkan," katanya.

Sementara itu, Hassan pula berkata ramai orang Melayu yang bukan penyokong Umno atau PAS juga menyatakan kebimbangan berhubung Icerd.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan menumpukan perkara lain seperti menagani kejatuhan harga komoditi.

Saifuddin berulang kali menjawab soalan yang berkaitan Icerd dengan menyatakan bahawa konvensyen berkenaan boleh ditandatangani dengan membuat pengecualian.

Beliau juga berpendirian bahawa hak istimewa bumiputera dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan tidak akan terjejas oleh Icerd.

"Kesimpulannya, kabinet akan ambil kira semua perkara yang telah dibangkitkan termasuk oleh Port Dickson (Anwar)," katanya pada akhir ucapannya.

[Baca berita asal]


Lihat Komen
ADS