Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik hari ini berkata ketetapan agar wakil rakyat perlu meminta izin daripada jabatan pendidikan negeri sebelum memasuki sekolah dikenakan kepada dua-dua pihak, baik pembangkang mahupun kerajaan.

Maszlee berkata kenyataannya sebelum ini "disalah tafsir" dan menjelaskan bahawa perkara itu telah ditetapkan dalam pekeliling sedia ada.

"Saya tidak mengatakan garis panduan, tapi kena meminta izin sebab ada kata saya melarang, saya banned, jadi itu perkara yang saya tak ada sebutkan.

"Cuma saya kata pekeliling sedia ada (sejak kerajaan terdahulu) mengatakan perlunya ada permohonan. Terpakai kepada semua tak kira pembangkang atau kerajaan.

"Cuma biasanya di pihak kerajaan biasanya pihak sekolah akan membuat permohonan untuk mereka tapi ia terpakai untuk semua," katanya dalam forum di Dewan Bahasa dan Pustaka malam ini.

Kenyataan terbaru Maszlee berhubung isu itu dibuat selepas beliau dikritik berhubung kenyataannya di Dewan Rakyat sebelum ini yang memaklumkan bahawa anggota parlimen pembangkang perlu kebenaran daripada kementerian melalui pengarah jabatan pendidikan negeri untuk masuk sekolah.

Maszlee juga menyifatkan bahawa isu berkenaan timbul susulan stigma dari kerajaan terdahulu.

"Stigma yang berlaku sebelum ini pada kerajaan yang lalu ialah apabila mereka memohon tak dapat. jadi ramai yang sangkakan kalau mohon tak dapat juga. Kalau minta kita akan berikan," katanya.

Bincang semula

Dalam kenyataannya di Dewan Rakyat Isnin lepas, Maszlee dilapor menegaskan bahawa anggota parlimen pembangkang yang ingin masuk sekolah kerajaan perlu mendapat kebenaran daripada kementerian melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri. 

Kenyataannya mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk anggota Pakatan Harapan (PH) sendiri antara lain Ketua Pemuda PH Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi berkata: "Mengharamkan pihak pembangkang dari sekolah dan institusi pengajian lain adalah salah satu penyalahgunaan kuasa yang paling buruk di bawah pemerintahan BN sebelumnya".

BERSIH pula menggesa agar peraturan sama dikenakan terhadap kedua-dua pihak, baik wakil rakyat pembangkang mahupun kerajaan.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, pihaknya terbuka untuk membincangkan semula ketetapan yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu.

"Dari segi perbincangan kita mungkin akan bincang semula (ketetapan) sedia ada kerana ramai yang meminta daripada pihak kerajaan sendiri, bukan dari BERSIH semata-mata.

"Dari pihak kerajaan (PH) sendiri, kalau boleh tak perlu ada, supaya pekeliling itu ditukar.

"Jadi di pihak kementerian kita akan bincang semula kerana kita meyakini bahawa kita tak mahu sekolah dijadikan bahan politik," katanya.