Bayaran membuat MyKad mulai tahun ini ditetapkan pada RM10 manakala kanak-kanak berusia 12 tahun tidak dikenakan bayaran.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid berkata keputusan itu dibuat oleh kabinet pada mesyuaratnya hari ini.

"Ibubapa tidak payah ragu-ragu. Bawa anak-anak yang mencapai umur 12 tahun ke Jabatan Pendaftaran Negara di seluruh negara untuk mendapat MyKad secara percuma," katanya kepada pemberita di kementeriannya hari ini.

Bagi orang dewasa, termasuk mereka yang telah mencapai umur 18 tahun ke atas, MyKad yang akan dikeluarkan mulai 1 Januari dikenakan bayaran RM10 setiap satu, sama ada bagi yang mempunyai satu aplikasi atau pelbagai aplikasi.

MyKad satu aplikasi ialah yang memuatkan maklumat diri sahaja, manakala MyKad pelbagai aplikasi memuatkan maklumat tambahan seperti lesen memandu dan pasport, selain kemudahan `Touch N' Go' dan lain-lain.

Pejabat JPN di seluruh negara, terutamanya di Lembah Klang sesak menjelang 31 Disember lalu, iaitu tarikh akhir untuk membuat MyKad secara percuma sehingga masa operasi beberapa pejabat itu dilanjutkan sehingga lewat malam.

Ramai pihak sebelum ini tidak bersetuju dengan cadangan supaya bayaran dikenakan bagi mengeluarkan MyKad kepada kanak-kanak 12 tahun.

Kerajaan beri subsidi

Azmi berkata, dengan mengenakan bayaran proses sebanyak RM10, bermakna kerajaan memberi subsidi sebanyak RM18.60 bagi setiap MyKad kerana kos setiap MyKad ialah RM28.60.

Bayaran itu akan dikenakan mulai esok semasa permohonan dibuat manakala bagi pemohon yang membuat MyKad sebelumnya, bayaran akan dikenakan ketika mereka mengambil MyKad di JPN kelak.

Azmi berkata, terdapat 500,000 kanak-kanak yang genap berusia 12 tahun yang perlu membuat MyKad pada tahun ini manakala 500,000 lagi adalah pemohon berusia 18 tahun yang dikehendaki menukar kad pengenalan lama mereka kepada MyKad.

"Selepas 12 tahun mereka kena menukar MyKad pada umur 18 tahun hingga 25 tahun kerana wajah anak 12 tahun berbanding dengan 18 hingga 25 tahun memang berbeza," katanya.

Menurut Azmi masih terdapat kira-kira 900,000 pemohon yang layak membuat MyKad tetapi tidak berbuat demikian walaupun tempoh yang diberikan oleh kerajaan untuk mereka membuat MyKad secara percuma dari Januari 2003 telah tamat pada 31 Disember lalu.

Daripada jumlah itu, 400,000 terdiri daripada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, luar negara, orang daif, orang tua yang uzur dan tidak boleh keluar rumah, banduan dan penghuni pusat serenti.

"Mereka ini dikecualikan daripada sebarang bayaran untuk membuat MyKad," katanya.

Denda MyKad hilang

Ditanya mengenai bayaran yang dikenakan sekiranya kad pengenalan atau MyKad hilang, Azmi berkata belum ada sebarang pindaan dibuat dan JPN masih mengikut jadual pembayaran yang ditetapkan sebelum ini.

Denda RM10 dikenakan bagi kehilangan kad pengenalan untuk kali pertama, RM30 (hilang kali kedua), RM50 (hilang kali ketiga) dan RM100 (hilang kali keempat dan seterusnya).

Azmi berkata kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai sampai bila kad pengenalan lama sah digunakan.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah diminta untuk membuat kajian dan mengemukakan cadangan kepada kabinet secepat mungkin, katanya.

Antara perkara yang perlu dikaji ialah masalah yang timbul kepada pemegang kad pengenalan lama sekiranya dokumen itu tidak lagi diiktiraf tetapi pemegang masih perlu berurusan dengan jabatan, katanya.

Bagaimanapun, menurut Azmi, kerajaan akan membuat keputusan secepat yang mungkin mengenai perkara itu bagi mengelakkan kejadian tak diingini termasuk kad-kad pengenalan palsu disalahgunakan.

"Sementara kita menunggu bilakah kad pengenalan lama tidak laku, semua rakyat digalakkan menukar kad pengenalan lama mereka kepada MyKad," katanya.

Tidak dituntut

Sementara itu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Tan Chai Ho memberitahu semalam bahawa kerajaan akan kerugian kira-kira RM21 juta sekiranya 724,097 MyKad yang sudah siap, tidak dituntut dan terpaksa dimusnahkan.

Katanya, kerajaan membelanjakan RM30 bagi menghasilkan setiap MyKad.

Johor mencatatkan statistik tertinggi jumlah MyKad yang belum dituntut yang sejumlah 112,147 kad, diikuti Sarawak (88,245), Perak (83,915) dan Selangor sebanyak 70,214.

"Sewaktu buat permohonan mereka minta dibuat cepat-cepat, tapi bila sudah siap tidak mahu datang ambil...ini membazir," katanya kepada pemberita selepas melawat pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kepong di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, JPN akan memusnahkan MyKad yang tidak dituntut melebihi tempoh dua tahun dari tarikh siap bagi menjamin aspek keselamatannya.

Bayaran penalti

Bagaimanapun, katanya, setakat ini belum ada Mykad yang tidak dituntut dimusnahkan oleh JPN.

Beliau berkata, kerajaan mungkin akan mengenakan penalti kepada pemohon yang tidak menuntut MyKad mereka bagi mengelakkan perkara itu berterusan.

Oleh itu, beliau menyeru orang ramai yang masih tidak menuntut MyKad mereka agar berbuat demikian secepat mungkin.

Tan menganggarkan sejuta rakyat negara ini masih belum membuat MyKad setelah tempoh membuatnya secara percuma tamat pada 31 Disember lalu.

Mengenai rayuan orang ramai agar pemohon baru MyKad yang mencapai usia 12 tahun dikecualikan daripada sebarang bayaran, Tan berkata perkara itu akan dibincangkan dengan menterinya, Datuk Seri Azmi Khalid.