Mahkamah tangguh keputusan rayuan isu bin Abdullah
Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan rayuan berhubung isu sama ada anak luar nikah pasangan beragama Islam boleh berbinkan nama bapanya atau Abdullah.
Mahkamah sepatutnya membuat keputusan hari ini berhubung rayuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dua pihak lain.
Peguam kanan persekutuan Amarjeet Singh memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak eksekutif mahu perkara itu diputuskan dengan berhati-hati dan merujuk kepada pelbagai pihak terlebih dahulu.
Permohonan untuk menangguhkan keputusan itu tidak dibantah oleh plaintif.
Bagaimanapun, Majlis Agama Islam Johor yang diketuai oleh peguam Sulaiman Abdullah, membantah permohonan itu.
Majlis Agama Islam Johor meminta keputusan disampaikan memandangkan penghakiman bertulis telah disiapkan, terutama apabila salah seorang panel hakim akan bersara tidak lama lagi.
Presiden Mahkamah Rayuan Ahmad Maarop kemudian membenarkan penangguhan dan menetapkan keputusan diumumkan pada satu tarikh yang lain.
"Penghakiman bertulis itu sudah siap tetapi setelah mempertimbangkan permohonan Amarjeet, kami membenarkan permohonan (ditangguhkan) supaya tarikh ditetapkan," katanya.
Dua lagi hakim yang bersidang ialah hakim Mahkamah Persekutuan Balia Yusof Wahi dan Aziah Ali, yang merupakan hakim daripada panel asal lima anggota yang mendengar rayuan daripada JPN.
Tahun lepas, Mahkamah Rayuan dalam satu penghakiman penting memutuskan bahawa fatwa kebangsaan mengenai isu itu bukanlah undang-undang yang mengikat dan JPN hanya terhad kepada menentukan sama ada seorang bapa telah memenuhi syarat di bawah Seksyen 13A (2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957
Dengan penghakiman itu, JPN diperintahkan menukar nama seorang anak lelaki berusia lapan tahun dari "bin Abdullah" kepada nama bapanya.
Fatwa yang dirujuk adalah fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan 2003 bahawa anak yang dikandung di luar nikah (anak tak sah taraf) tidak boleh dibinkan dengan nama bapa kanak-kanak itu jika dilahirkan kurang daripada enam bulan selepas perkahwinan ibu bapanya.
Keputusan Mahkamah Persekutuan jika disampaikan hari ini, tidak hanya akan memberi kesan terhadap anak lelaki berusia lapan tahun itu, tetapi juga anak pasangan beragama Islam yang lain.
Ini termasuk 20 pasangan yang anak-anaknya dilahirkan di luar nikah dan berbinkan Abdullah" atau "binti Abdullah" dengan ada yang berpendapat bahawa anak-anak berkenaan akan menanggung stigma kelahiran luar nikah sepanjang hidup mereka.

