Paling Popular
Terkini

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (PAGE) tidak setuju cadangan menteri pendidikan mewajibkan renang diajar di sekolah, kata pengerusinya Noor Azimah Rahim.

Selain membabitkan kos yang tinggi, Noor Azimah berkata ia sepatutnya menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke kelas renang dan bukan menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak sekolah.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman kementerian pendidikan untuk memperkenalkan subjek tersebut berikutan peningkatan kejadian lemas membabitkan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.

"Kami setuju bahawa kanak-kanak perlu belajar berenang. Tetapi bagaimana mereka perlu mempelajarinya adalah di bawah tanggungjawab ibu bapa, melainkan kolam renang tersebut boleh dibina di setiap sekolah.

"Ibu bapa sepatutnya menggalas tanggungjawab terhadap anak-anak mereka dan bukan menyerahkannya kepada sekolah.

"Beliau (Maszlee) tidak boleh selamatkan dunia," katanya kepada Malaysiakini.

Maszlee pada 5 Oktober lalu berkata kementeriannya sedang meneliti keperluan untuk mewajibkan subjek renang di sekolah selepas cadangan tersebut disuarakan sendiri perdana perdana menteri berikutan peningkatan kejadian lemas membabitkan pelajar.

Pada Oktober tahun lalu, menurut kajian pusat Penyelidikan Klinikal Perak, kejadian lemas merupakan penyebab kematian kedua tertinggi kanak-kanak di negara ini selepas kemalangan jalan raya.

Kolam hotel tujuan riadah

Berdasarkan kajian tersebut, kira-kira 500 kanak-kanak mati akibat lemas setiap tahun dengan mencatatkan mangsa yang berusia satu hingga 18 tahun.  

Semalam Maszlee menyarankan pihak swasta terutama hotel yang mempunyai kolam renang membantu memudahkan pihak sekolah menyediakan aktiviti tersebut.

Bagaimanapun, saranan itu ditolak Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang menyatakan kebimbangan mengenai soal keselamatan memandangkan kebanyakan kolam hotel dibina untuk tujuan riadah.

Mengulas lanjut Noor Azimah berkata cadangan agar pihak hotel membenarkan kolam renang di premis mereka digunakan juga tidak praktikal untuk dilaksanakan.

"Kami (Page) merasakan ia satu tanggungjawab yang besar untuk sekolah, guru-guru dan pihak hotel," tambah beliau.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Dr Mohd Ali Hassan turut tidak setuju dengan cadangan agar subjek renang diajar di hotel.

Sebaliknya, Mohd Ali mencadangkan supaya pihak sekolah menggunakan kemudahan lain seperti kolam renang yang disediakan di universiti atau kolam renang awam.

"Memandangkan pihak hotel ini mempunyai pemikiran komersial dan kehadiran penghuni-penghuni hotel juga perlu dapat layanan utama. Jadi ini perkara yang perlu dilihat," katanya. 

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kamarozaman Abd Razak pula berpendapat, sekiranya cadangan itu benar-benar dilaksanakan, kementerian pendidikan perlu menyediakan garis panduan yang jelas supaya ibu bapa tidak menuding jari terhadap guru sekiranya berlaku kemalangan sewaktu kelas renang.

Beliau berkata kementerian juga perlu mengeluarkan bajet yang lebih bagi menyediakan jurulatih yang layak atau menyediakan kursus kepada guru-guru untuk subjek tersebut kerana latihan renang sebelum ini hanya diajar secara teori di dalam bilik darjah.





Lihat Komen
ADS