Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kumpulan pelajar serah memo kritik belanjawan di parlimen

Kumpulan-kumpulan mahasiswa menyerahkan memorandum mengkritik Belanjawan 2019 di parlimen atas alasan “tidak menjaga mahasiswa”, terutama dalam hal pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menamakan diri mereka Gabungan NGO Mahasiswa Malaysia 2018, kumpulan itu menolak Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Dalam sidang media yang dihadiri oleh tiga wakil, satu resolusi diserahkan kepada anggota parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob sebagai wakil pembangkang di parlimen hari ini.

Terdahulu, resolusi itu turut diserahkan kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai wakil kerajaan.

Ismail turut berucap di sidang media tersebut memberi jaminan untuk membawa hal yang dibangkitkan resolusi itu sekali lagi ke parlimen.

“PTPTN menetapkan peminjam bayar segera pinjaman mereka, dahulu ada masa bertenang enam bulan sebelum mulakan bayaran.

“Manifesto PRU (PH) untuk mansuhkan bayaran PTPTN, tapi dipinda kepada potongan kepada yang bergaji bawah RM4,000, tetapi selepas bentang belanjawan bayaran harus dibuat untuk yang bergaji (serendah) RM1,000 sebulan.

“[...] Keistimewaan pun tiada, dahulu siapa yang bayar konsisten dapat diskaun, sekarang tiada. Dahulu [...] yang dapat kelas pertama akan (pinjamannya) ditukar kepada biasiswa, tapi kini tiada lagi,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, aktivis pelajar Amirul Syafiq Che Ajizi menjelaskan mereka turut membantah penetapan gaji minimum RM1,100, penghapusan bantuan sara hidup golongan bujang dan penghapusan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) untuk mahasiswa.

Selain itu, mereka mendakwa peruntukan skim latihan untuk graduan yang dirangka tidak menyeluruh dan tiada mekanisme baru meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Khusus untuk PTPTN pula, resolusi itu tidak bersetuju penghapusan keistimewaan graduan kelas pertama, polisi pembayaran balik pinjaman untuk golongan bergaji minimum RM1,000 dan pembatalan potongan istimewa kepada pembayar pinjaman yang konsisten.

Majlis Mahasiswa Malaysia 2018 merupakan gabungan tiga kumpulan mahasiswa, iaitu kumpulan pelahar yang dekat dengan PAS Gabungan Mahasiswa Malaysia (Gamis), Mahasiswa Nasional (MN) dan Mahasiswa Turun Parlimen (Mantap) siri kelapan.

Amirul ialah presiden Mantap.

Lihat Komen
ADS