Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Goldman Sachs Group, Lloyd Blankfein secara peribadi bertemu dengan ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) di ibu pejabat syarikat itu di Lower Manhattan pada Disember 2012, lapor The New York Times (NYT) hari ini.

Laporan eksklusif akhbar itu memetik sumber berkata demikian pada saat bank tersebut mengatakan skandal 1MDB hanya melibatkan segelintir kakitangan yang menjadi 'penyangak' sahaja.

Pendakwa AS meneliti pertemuan pada 2012 antara kedua lelaki itu kerana skop siasatan jenayah terhadap bank itu semakin meluas, kata laporan NYT.

"Pertemuan 2012 di ibu pejabat Goldman, yang berlangsung pada pertengahan Disember, sekurang-kurangnya dua kali Blankfein berada di dalam bilik bersama Low, tetapi itu satu-satunya masa pembiaya kewangan dari Malaysia itu dapat bertemu secara peribadi dengan ketua eksekutif Goldman.

"Jurucakap Goldman, Jake Siewert, mengatakan bahawa Blankfein mengadakan pertemuan dengan Low pada 14 Disember 2012, tetapi ia turut dihadiri oleh Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny yang menguruskan dana pelaburan Abu Dhabi, Aabar," lapor NYT.

Blankfein bertemu Najib Razak

Sebelum ini Blankfein dilaporkan secara peribadi telah membantu menjalinkan hubungan dengan Malaysia dan 1MDB, selama bertahun-tahun sebelum Goldman Sachs mengatur perjanjian bonnya.

Blankfein juga dilaporkan menghadiri pertemuan pada 2009 dengan bekas perdana menteri Najib Razak yang pada akhirnya meletakkan asas hubungan antara Goldman Sachs dan 1MDB.

NYT melaporkan kakitangan bahagian pematuhan peraturan korporat Goldman telah berulang kali menolak usaha Low untuk menjadi pelanggan mereka sejak tahun 2009 kerana tidak jelas bagaimana beliau mengumpulkan kekayaannya.

Walau bagaimanapun, apabila pembantu Blankfein mencari maklumat mengenai Low sebelum mesyuarat Disember 2012, seorang pegawai kanan pelaburan bank Goldman Sachs di Asia memuji Low tetapi tidak menimbulkan mengenai kebimbangan bahagian pematuhan syarikat itu.

Hal ini diberitahu seseorang yang telah menyemak e-mel dalaman Goldman dalam mesyuarat itu kepada NYT.

Pembantu Blankfein turut merujuk kepada bekas pengurus bank Goldman, Tim Leissner, yang sejak itu dituduh terlibat dalam 1MDB, untuk menilai jika Low benar-benar layak hadir satu temujanji peribadi dengan ketua eksekutif bank berkenaan.

"Leissner memberi jaminan mengenai Jho Low. Beberapa hari kemudian, Blankfein dan Low bertemu serta membincangkan peluang-peluang pelaburan di Asia Tenggara, menurut dua orang (sumber) yang akrab dengan pertemuan itu. 

"Dana 1MDB tidak ada dalam agenda dan tidak ada petunjuk bahawa mereka bercakap mengenai jualan bon ketiga," lapor NYT lagi.

Putrajaya kini sedang mendapatkan bayaran balik penuh sebanyak AS$ 588 juta yuran yang dibayar kepada Goldman untuk mengatur tawaran pengeluaran bon bernilai berbilion ringgit untuk 1MDB.

Menurut laporan NYT lagi, David C Ryan, yang merupakan ketua Leissner di Asia, menyuarakan keprihatinan mengenai perjanjian bank itu dengan 1MDB tetapi tidak diendahkan.

Laporan NYT juga menyebut keprihatinan Ryan itu telah diperiksa oleh dua jawatankuasa dalaman Goldman yang tugasnya memastikan supaya bank tersebut tidak terlibat dengan urus niaga yang boleh merugikan pelanggan atau menjejaskan institusi kewangan berkenaan dan reputasinya.

Kedua-dua jawatankuasa dalaman bank itu setuju dengan transaksi 1MDB, dilaporkan ia berharap dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada Goldman di Malaysia.

Jualan bon ketiga diteruskan pada tahun 2013 walaupun mendapat bantahan Ryan beberapa minggu selepas Najib dipilih semula pada pilihan raya umum ke-13.

Ryan berhenti daripada Goldman Sachs pada tahun 2014 kerana kecewa dengan hal ini.

Pada 1 November lalu, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat mengenakan pelbagai pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB terhadap Low (tanpa kehadirannya), Leissner dan kakitangan ketiga bank Goldman, seorang rakyat Malaysia Roger Ng.

Tiada jawatan rasmi dalam kerajaan, 1MDB

Pertuduhan itu menyatakan dakwaan bersubahat untuk mengubah berbilion dolar dari syarikat pelaburan negara dan bersekongkol untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing Amerika (FCPA).

Low tetap mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu, berkata beliau tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi di dalam syarikat 1MDB atau pun pernah digajikan oleh kerajaan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Goldman, David Solomon, juga telah berusaha menjauhkan firma tersebut daripada dibabitkan dengan skandal 1MDB.

Solomon memberitahu kakitangannya yang terjejas dengan laporan yang melibatkan bank itu, berkata: "Ini bukan kita."

Terdahulu hari ini, dilaporkan International Petroleum Investment Co (IPIC) di Abu Dhabi telah memfailkan saman terhadap Goldman dan pihak lain untuk menuntut semula ganti rugi yang mereka alami melalui urus niaga IPIC dengan 1MDB.

[Baca berita penuh]