Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata beliau masih belum membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya di Seremban yang mengisytiharkan kemenangannya di DUN Rantau pada PRU14 tidak sah.

"Belum lagi. Saya masih lagi mempertimbangkan baik buruknya untuk buat rayuan atau tidak," katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun dalam kenyataannya, DUN Rantau hanya akan diadakan jika tiada rayuan dibuat terhadap keputusan mahkamah tersebut.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya di Seremban memerintahkan bahawa kerusi DUN Rantau, Negeri Sembilan sebagai kosong dan kemenangan bekas menteri besar Negeri Sembilan pada PRU14 lalu adalah tidak sah.

Hakim Azimah Omar memutuskan tidak ada undang-undang bertulis atau keperluan yang menyatakan tag atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk mengemukakan borang pencalonan.

Mohamad yang turut dikenali sebagai Tok Mat, menang kerusi itu sejak 2004 dan merupakan menteri besar popular di Negeri Sembilan sepanjang tiga penggal pentadbirannya.

Sebelum PRU14 pada 9 Mei lalu, pemimpin berusia 62 tahun itu mengekalkan kerusinya dengan meraih majoriti besar iaitu 79.3 peratus pada 2004, 63.3 peratus (2008) dan 63.8 peratus (2013).