Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy, adalah antara sembilan individu yang dipanggil oleh polis untuk membantu siasatan berhubung kenyataan mereka yang polis percaya telah menimbulkan ketegangan kaum dan agama di negara ini.

Ini didedahkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim pada satu sidang akhbar khas di Bukit Aman hari ini. Katanya, sesetengah individu berkenaan akan dipanggil dalam masa terdekat berikutan lebih 160 laporan polis yang diterima membabitkan mereka.

Individu lain termasuk Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, blogger politik dan presiden Gabungan 3 Ragvinder Singh @ Reggie Jessy, timbalan presiden G3 Amran Ahmad Nor, Adun Tanah Rata Chiong Yoke Kong dan Adun Tras Chow Yu Hui.

“Polis memandang serius kenyataan yang menyentuh sentimen perkauman dan agama sehingga timbul kegelisahan dan kegusaran masyarakat.

“Isu yang dimainkan ini jika tidak dikawal dan diurus dengan baik akan menjurus kepada keadaan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

Polis juga akan merakamkan kenyataan lelaki yang didakwa menghina seorang promoter, Muhamad Edi Mohamad @Edi Rejang serta Lau Shan Thean.

Adalah difahamkan bahawa Lau adalah lelaki di sebalik video yang tular di media sosial, yang mencabar Edi Rejang untuk berdepan dengannya.

Walaupun Noor Rashid tidak menyebut sebarang isu tertentu yang mencetuskan siasatan itu, adalah dipercayai bahawa Icerd adalah salah satu isu yang mereka sedang siasat, berdasarkan nama-nama tersebut.

Katanya, beberapa kertas siasatan menurut Seksyen 504, 505 dan 506 Kanun Keseksaan telah dibuka.

“Polis menjunjung tinggi hak asasi manusia melalui kebebasan bersuara, bagaimanapun hak tersebut haruslah diamalkan dengan penuh tanggungjawab dan mengikut batasan undang-undang.

“Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya demi mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

Ditanya sebab Zahid turut dipanggil oleh pihak polis, Noor Rashid berkata pihaknya menerima laporan polis yang mengaitkan bekas timbalan perdana menteri itu dengan kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman.

“Jadi kita (polis) perlu dapatkan penjelasan daripada YB (Zahid),” katanya.

[Baca berita penuh]