2006 tahun genting bagi MAS
Terjemahan Tahun 2006 merupakan tahun genting bagi Penerbangan Malaysia di mana ia memerlukan rombakan semula, langkah drastik pengurangan kos dan meningkatkan usaha menambah pendapatan untuk berdepan dengan tekanan dan persaingan hebat dalam industri penerbangan serantau.
Terjemahan Tahun 2006 merupakan tahun genting bagi Penerbangan Malaysia di mana ia memerlukan rombakan semula, langkah drastik pengurangan kos dan meningkatkan usaha menambah pendapatan untuk berdepan dengan tekanan dan persaingan hebat dalam industri penerbangan serantau.
Syarikat penerbangan negara itu memerlukan rombakan semula sepertimana yang dilakukan oleh pesaingnya yang lain seperti Syarikat Penerbangan Singapura, untuk berdepan dengan liberalisasi pasaran, dan fenomena kemunculan syarikat penerbangan murah.
"Ia perlu menangani saingan syarikat-syarikat pesaing untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran baru," kata Pengerusi Eksekutif Pusat Penerbangan bagi Asia Pasifik, Peter Harbison.
"Ia perlu menjadi sebuah syarikat penerbangan yang untung dan berkesan dan ini memerlukan komitmen dan fokus utama serta mengakui bahawa semua pesaingnya sudah kehadapan dalam proses penyesuaian ini," katanya kepada AFP.
Syarikat penerbangan negara itu mengakhiri tahun 2005 dengan mencatat kerugian dalam dua suku tahun berturut-turut, dan kini berdepan dengan desakan supaya mengurangkan kos dan menyediakan pelan luar jangkaan bagi menangani peningkatan harga bahan bakar.
Pengerusinya, Datuk Munir Majid pula memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap para pengkritiknya selepas beliau dibidas berhubung perbelanjaan mewah, termasuk kos lukisan dan pakar perunding.
Perlu rakan teguh
Harbison menyifatkan 2006 sebagai "tahun titik perubahan" bagi syarikat penerbangan negara itu, sambil menambah bahawa kerajaan Malaysia juga semakin hilang kesabaran.
"Dunia penerbangan adalah amat kompetitif di mana ia tidak boleh lagi mengharapkan sokongan berterusan pihak kerajaan," katanya.
Menurutnya, ramuan bagi perubahan tersebut termasuklah menyenaraikan semula laluan antarabangsa dan domestik yang tidak menguntungkan walaupun MAS mempunyai obligasi berbuat demikian sebagai sebuah syarikat penerbangan negara supaya menjadi lebih kompetitif dari komersialnya.
Langkah drastik juga perlu diambil bagi mengurangkan kos dan ketidakcekapan, termasuk yang berkaitan dengan kakitangan, dan meningkatkan pendapatan dengan menjalinkan perkongsian dengan syarikat penerbangan lain bagi berkongsi sumber dan penerbangan.
"Ia perlu mencari rakan-rakan kongsi yang teguh dan cepat melakukannya," kata Harbison yang berpejabat di Sydney..
Para pengalisis kini sedang menunggu sebarang tanda-tanda berlakunya perubahan sebenar dalam pelan penstrukturan semula Penerbangan Malaysia yang dijangka diumumkan oleh Pengarah Urusan barunya, Idris Jala (foto), pada awal tahun baru ini.
Penganalisa penerbangan ECM Libra Securities, Eu Jin Song pula berkata, Idris yang mula memegang jawatan tersebut pada 1 Disember lalu, telah memberitahu para penganalisis baru-baru ini bahawa MAS sedang meneliti langkah pengurangan kos dan meningkatkan pendapatan, termasuk kemungkinan menaikkan harga tambang.
"Beliau nampaknya tahu punca masalahnya," kata Song.
"Langkah pertama yang mereka ambil ialah dengan memusatkan semua urusan perbelanjaan. Sebelum ini, setiap bahagian diberi kuasa mengendalikan sendiri urusan perbelanjaan dan ini diganti selepas perlantikan Idris," tambahnya.
Model yang rapuh
Petanda awal ketegasan Idris ialah apabila beliau dilaporkan bulan lalu, menyarankan syarikat penerbangan itu menjual bangunan ibupejabatnya di Kuala Lumpur untuk memperolehi dana kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan rombakan, walaupun ada pihak membantahnya.
Tetapi memandangkan kedudukan MAS sebagai syarikat penerbangan negara, ia menjadi sasaran perdebatan meluas, yang menurut para pemerhati, boleh menjadi batu penghalang terhadap pelaksanaan perubahan yang diperlukan.
"MAS menggunakan model perniagaaan yang rapuh. Mesti ada pelan yang kukuh. Terus terang saya katakan, tidak ada satupun (pelan) komprehensif yang diumumkan dalam masa terdekat ini kerana ia telah merubah menjadi isu politik," kata seorang pengurus dana yang dilaporkan dalam akhbar The Star pada hujung minggu.
Song berkata, para penganalisis sedang menunggu sama ada Idris akan dapat melaksanakan pelannya secara berkesan dan membawa minda korporat dalam syarikat penerbangan tersebut.
"Beliau bercakap mengenai budaya perubahan kepada kakitangan MAS, jadi ianya bukan satu tugas yang mudah," tambahnya.
Sementara itu, Song berkata, Penerbangan Malaysia dijangka terus mencatatkan kerugian dalam tempoh jangka pendek.
"Perubahan yang mahu beliau lakukan...akan mengambil masa... ia bukan satu proses yang boleh dijayakan dalam satu malam sahaja," katanya. Berita asal
- AFP

