Terpaksa 'korbankan' siswa bawah tanah: Aziz Shamsuddin
Pelajar universiti-universiti tempatan yang terbabit dengan gerakan bawah tanah akan dikenakan tindakan jika kerajaan gagal "memulihkan" mereka, kata timbalan menteri pendidikan, Datuk Abul Aziz Shamsuddin hari ini.
"Kalau terbukti benar. Ada dua (tindakan), bergantung kepada seriusnya (penglibatan) mereka. Kalau perlu kita pulihkan pelajar ini, kita pulihkan. Kalau tidak, kita terpaksa 'korbankan' mereka," katanya, mengulas laporan muka depan Mingguan Malaysia hari ini yang mendedahkan kewujudan kumpulan pelajar yang disifatkan bergerak bawah tanah di Universiti Teknologi Malaysia.
Bercakap kepada wartawan selepas majlis penutup Kongres Pendidikan Melayu di Kuala Lumpur petang tadi, beliau berkata kementerian akan mendapatkan laporan mengenai perkara itu daripada universiti terbabit.
Akhbar itu melaporkan pendedahan seorang bekas pelajar, Wan Noor Hayati Wan Alias, yang mendakwa gerakan yang tersusun wujud di universiti-universiti tempatan untuk mempengaruhi pendirian politik pelajar-pelajar Melayu supaya berjuang menentang kerajaan.
Pelajar berusia 22 tahun itu mendakwa beliau "telah dipedaya" oleh kumpulan itu yang berselindung di sebalik kegiatan usrah dan tamrin.
Gadis itu juga mendakwa penyokong parti pembangkang menggunakan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dan dua pertubuhan tidak berdaftar, Hizbi Islami dan Markaz Siswazah Kelantan, bagi menanam sentimen membenci kerajaan.
"Mereka menggunakan tamrin dan usrah bagi menanamkan perasaan marah para pelajar Islam terhadap Umno dan kerajaan, membakar semangat jihad dan kesanggupan untuk berbuat apa sahaja demi perjuangan politik parti pembangkang" kata pelajar itu kepada akhbar itu.
Kata Abdul Aziz lagi, selain laporan UTM, kementeriannya akan mendapatkan laporan susulan daripada polis. "Daripada polis baru kita bertindak," katanya.
'Api besar bakar semua'
Menurutnya, pelajar-pelajar yang terbukti terbabit hingga "di peringkat untuk menjahanamkan negara" boleh ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Kita tidak boleh pandang ringan perkara ini. Daripada (api) kecil, ia akan jadi api besar dan akan membakar kita semua. Jadi kalau tidak mahu kita terbakar, kita mesti ambil tindakan yang sesuai," tegasnya.
Awal Julai, dua aktivis pelajar ditangkap mengikut akta itu berhubung kegiatan antikerajaan. Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohamad Fuad Mohd Ikhwan dan aktivis pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin masing-masing ditahan selama 10 dan 23 hari. Mereka bagaimanapun dibebaskan tanpa sebarang syarat dan tuduhan.
Mengulas isu yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir hari ini pula berkata satu usaha bersepadu perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti mereka yang mempengaruhi pelajar agar terlibat dalam gerakan bawah tanah untuk menjatuhkan kerajaan.
"Kita harus membanteras mereka ini," katanya, menurut laporan agensi berita nasional Bernama .
"Jika mereka sebahagian daripada warga universiti, kita perlu menyekat kegiatan mereka."
Kerajaan telah menjangkakan kewujudan gerakan seumpama ini yang bertujuan membakar semangat pelajar agar membenci kerajaan, tambah Dr Mahathir.
"Apabila kita bakar semangat golongan muda, tidak dapat tidak, mereka akan mencari cara tersendiri untuk mencapai matlamatnya," katanya.

