Ketua Pengarang China Press disingkir dari jawatan
Terjemahan Dua editor kanan akhbar harian berbahasa Cina China Press telah disingkir daripada jawatan masing-masing manakala edisi petang akhbar berkenaan, terselamat daripada digantung penerbitannya berhubung kesilapan dalam laporannya mengenai isu wanita melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel.
Terjemahan Dua editor kanan akhbar harian berbahasa Cina China Press telah disingkir daripada jawatan masing-masing manakala edisi petang akhbar berkenaan, terselamat daripada digantung penerbitannya berhubung kesilapan dalam laporannya mengenai isu wanita melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel.
Sumber-sumber yang mengetahui berkata, pihak pengurusan telah memberi taklimat kepada kakitangan akhbar itu hari ini untuk memaklumkan bahawa Ketua Pengarang, Chong Choong Nam dan Pengarang Eksekutif Wang Zhao Ping akan dipindahkan dari jawatan masing-masing.
Chong akan dilantik sebagai pembantu peribadi kepada Pengerusi Nanyang Press Holdings Datuk Wong See Wah, yang juga merupakan bekas ahli politik MCA.
Wang, bagaimanapun dikekalkan bertugas di situ sebagai 'pengurus projek khas'. Sehingga ini tiada maklumat mengenai bakal pengganti mereka.
Sumber-sumber itu juga berkata, pihak pengurusan tidak menyatakan sebabnya, tetapi tindakan itu dipercayai ada kaitan dengan kontroversi rakaman kes wanita bogel melakukan ketuk ketampi itu.
Pada 19 Disember lalu, akhbar berkenaan telah menerima surat tunjuk sebab dari pihak berkuaa berhujung perkara tersebut.
Notis mengenai rombakan jabatan pengarang itu akan disiarkan dalam akhbar berkenaan tidak lama lagi, kata sumber-sumber tersebut.
Chong, ketika dihubungi tengahari ini, enggan mengesahkan keputusan memindahkannya daripada jawatannya sekarang.
Menurutnya, beliau belum lagi dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara tersebut tetapi telah diminta bercuti.
Katanya, semuanya belum jelas lagi dan "saya telahpun bercuti sejak beberapa hari lalu...dan tidak tahu apa yang berlaku di pejabat."
Chong juga enggan memberitahu beberapa beliau akan bercuti.
Surat tunjuk sebab
Surat tunjuk sebab itu dipercayai berkaitan laporan edisi petang China Press pada 23 November lalu yang pertama melaporkan mengenai kewujudan klip video yang didakwa rakaman seorang wanita rakyat China dipaksa oleh seorang anggota polis wanita, melakukan ketuk ketampi dalam keadaan berbogel.
Pada hari berikutnya, Ahli Parlimen pembangkang, Teresa Kok telah menunjukkan klip video tersebut di Parlimen. Ia didakwa dirakam oleh seorang anggota polis dengan kamera telefon di kawasan larangan dalam balai polis Petaling Jaya.
Isu tersebut telah menimbul kemarahan di seluruh negara. Berikutan pendedahan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid telah mengadakan lawatan enam hari ke China.
Sebuah suruhanjaya bebas kemudiannya ditubuhkan untuk menyiasat perkara tersebut dan wanita bogel itu disahkan sebagai seorang wanita Melayu. Berikutan itu, pihak media menjadi sasaran di atas kesilapan identiti wanita terbabit.
Spekulasi juga kemudian tercetus bahawa China Press edisi petang akan digantung seandainya akhbar itu gagal mengambil tindakan sewajarnya, termasuk menukar kakitangan kanan editorialnya.
Akhbar tersebut, yang menerbitkan edisi pagi dan petang, mempunyai jumlah pengedaran kedua tertinggi di kalangan lima akhbar utama berbahasa Cina di negara ini.
China Press serta satu lagi akhbar dalam kumpulan yang sama, Nanyang Siang Pau , telah diambil alih oleh parti MCA walaupun menghadapi bantahan keras, empat tahun yang lalu. Berita asal

