Terjemahan PAS hari ini memfailkan petisyen pilihanraya untuk mencabar keputusan pilihanraya kecil Pengkalan Pasir. Parti itu mendakwa berlaku banyak pelanggaran peraturan pilihanraya termasuk adanya pengundi hantu dan sogokan wang dalam pilihanraya yang diadakan pada 6 Disember lalu itu.

Setiausaha Agung PAS Kelantan, Takiyuddin Hassan mengesahkan petisyen itu difailkan oleh Setiausaha Agung Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ridza Zain yang menjadi wakil calon PAS, Hanipa Ahmad di Mahkamah Tinggi Kota Bharu tengah hari tadi.

"Kami diwakili oleh 10 orang peguam dalam petisyen ini. Pasukan para peguam itu diketuai oleh peguam dari Kuala Lumpur, Mohamad Ariff Md Yusof yang mahir dengan undang-undang perlembagaan. Beliau adalah bekas Timbalan Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaaya," kata Takiyuddin.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan butir-butir petisyen yang setebal 20 muka surat itu. Bagaimanapun dipercayai petisyen itu dibuat berdasarkan maklumat yang diterima oleh parti tersebut yang telah menawarkan hadiah RM15,000 kepada sesiapa yang memberi maklumat berhubung pengundi hantu.

Ketika di mahkamah, Mohd Ridza (berkot hitam) ditemani oleh Takiyuddin, Hanifa (berbaju biru), Naib President PAS, Husam Musa dan peguam Hanipa Maidin serta kira-kira 100 penyokong parti.

Hari ini adalah hari terakhir untuk PAS mengemukakan petisyen bagi mencabar keputusan pilihanraya kecil Pengakalan Pasir kerana keputusan berkenaan diwartakan pada 15 Disember lalu.

Dalam pilihanraya kecil tersebut, calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat menewaskan calon PAS, Hanifa Ahmad dengan majoriti tipis 134 undi.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat PAS, Wan Abdul Aziz Wan Jaffar pada 31 Oktober lalu.

Kekalahan di Pengkalan Pasir itu menyebabkan kerusi yang dikuasai oleh PAS di Dewan Undangan Negeri Kelantan jatuh kepada 23 kerusi dan Barisan Nasional/Umno, 22 kerusi, tinggal majoriti tipis satu kerusi sahaja.

Petisyen itu akan didengar di Mahkamah Pilihanraya yang dihakimi oleh seorang hakim Mahkamah Tinggi. Ia mesti diputuskan dalam masa enam bulan.

Menuntut keadilan

Di bawah Akta Peraturan Pilihanraya, petisyen pilihanraya hanya boleh difailkan jika berlakunya pencabulan peraturan pilihanraya seperti pemberian wang sogokan, ugutan, dan pelanggaran prosidur.

Sementara itu menurut laporan Bernama, Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata petisyen adalah jalan terbaik untuk parti itu membantah segala

penyelewengan dan penipuan yang didakwa berlaku pada pilihan raya kecil

Pengkalan Pasir.

Beliau berkata tujuan PAS mengemukakan petisyen itu adalah untuk mencari kebenaran dan keadilan dan bukannya tidak menerima hakikat parti itu tewas pada pilihan raya kecil itu.

"Tidak kira kita menang atau kalah tetapi untuk menyatakan yang PAS

tidak suka kepada penyelewengan dan penipuan tetapi mencari kebenaran dan

keadilan," katanya.

Sementara itu ketika berceramah mengenai isu-isu semasa di Dewan

Perniagaan Cina di Kota Bharu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul

Aziz Nik Mat pula berkata petisyen oleh Pas bertujuan untuk mencari keadilan

sebagaimana dituntut oleh Islam dan bukan untuk mencari populariti.