Peguam Latheefa Koya ingin tahu sama ada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut mempersoalkan mengapa Palestin dan negara-negara Islam lain telah meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum (Icerd).

Ini selepas Zahid mempersoalkan mengapa Menteri Luar Saifuddin Abdullah mempertahankan Icerd sedangkan beliau seorang Muslim.

"Adakah (kamu) mempersoalkan semua negara Islam termasuk Palestin kerana meratifikasi Icerd?" soal Latheefa di laman sosial Twitter malam ini.

Palestin adalah antara 43 negara majoriti Islam yang telah menandatangani Icerd termasuk Arab Saudi dan Indonesia.

 Zahid hari ini membuat kenyataan tersebut terhadap Saifuddin dalam satu program bersama Umno Wilayah Persekutuan awal hari ini.

"Pula tu menteri luar negeri, pertahankan ratifikasi, kerana gerakan reformasi.

"Eh kamu ni orang Islam ke orang apa hah? Ini bukan soal politik, tak. Kita hanya menuntut apa dalam perlembagaan, itu kita mahu pertahankan," katanya.

Sementara itu, pengarah strategi Bersatu Rais Hussin menuntut Zahid meminta maaf kepada Saifuddin.

 "Seriuslah Zahid? Kamu persoalkan kepercayaan Saifuddin kerana pendiriannya terhadap Icerd?

"Kamu lebih baik mohon maaf kepada Saifuddin kerana ini adalah tuduhan yang sangat besar, sindiran yang sangat besar, fitnah yang sangat besar!" katanya di Twitter.