Tolak meritokrasi: kongres Melayu salah faham
Kementerian Pendidikan mendakwa ahli-ahli Kongres Pendidikan Melayu "mungkin salah faham" apabila mengemukakan syor membantah pelaksanaan sistem merit seperti disarankan oleh kerajaan bulan lalu.
"Saya ingat mereka tidak faham tentang saranan Perdana Menteri yang meminta setiap ibu bapa meningkatkan pencapaian anak-anak dalam bidang pendidikan. Ia langsung tidak menyentuh soal kuota," kata timbalan menteri pendidikan Datuk Abdul Aziz Shamsuddin hari ini.
Kongres dua hari yang julung-julung kali diadakan, antara lain, memutuskan "perubahan dasar mengenai hak Melayu dalam pendidikan mestulah tidak bertentangan dengan kontrak sosial yang dicerminkan dalam Perlembagaan Persekutuan."
(Perlembagaan memperuntukkan hak istimewa kepada kaum Bumiputera, termasuk sistem kuota kemasukan ke institusi pengajian tinggi tempatan, selain kemudahan lesen dan permit)
Semalam, ketika membahaskan beberapa kertas kerja, para peserta kongres bersetuju agar dasar-dasar yang memihak kepada orang Melayu yang telah dilaksanakan kerajaan selama ini "diteruskan dan tidak diganggu-gugat."
Dasar-dasar itu antaranya, peruntukan kuota kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam bagi menjamin peluang pelajar Melayu meningkatkan pencapaian pendidikan mereka.
(Bulan lalu, kerajaan bercadang melaksanakan sistem merit di IPT mulai tahun depan dan saranan itu dianggap menggugat sistem kuota yang mengutamakan kaum Melayu dan bumiputera).
Sokong apa yang rakyat mahu
Menurut Abdul Aziz hari ini, pelajar Melayu akan terus mendapat peluang ke universiti tetapi kemasukan itu hendaklah diambil secara serius agar mampu bersaing dengan bangsa lain.
"Perdana Menteri percaya pelajar Melayu - kalau diberi galakan dan bersungguh-sungguh - akan cemerlang. Inilah konsepnya, bukan kita halang (pelajar Melayu) masuk ke universiti tetapi kalau ada peluang masuk, gunalah sebaiknya supaya memberi manfaat kepada bangsa," jelasnya.
Beliau bagaimanapun menyokong Deklarasi Putra yang diumumkan petang tadi dalam acara penutup persidangan itu yang dianjurkan Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat dan Kumpulan Melayu Prihatin.
"Kita akan sokong kerana ia adalah kehendak rakyat dan kerajaan ini bergantung kepada rakyat. Kita akan sokong apa yang rakyat mahu, kalau ia sesuai dengan perkembangannya," katanya.
Deklarasi enam perkara itu, selain menuntut jaminan hak Melayu dalam dasar pendidikan negara, juga menggesa profesion guru diiktiraf sewajarnya dan menyeru semua golongan orang Melayu berganding bahu mengatasi masalah kaum itu di semua peringkat.
Aziz juga menganggap deklarasi itu "praktikal untuk diamalkan."
Tambahnya, jika semua orang Melayu bersetuju memberikan sumbangan dana dan penyelidikan serta pembangunan, ia akan menjadikan bangsa itu kukuh.

