Dr M: Jangan subahat dengan k'jaan lakukan kesalahan
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengulangi pesan agar penjawat awam melakukan perkara yang betul meskipun ia tidak disenangi oleh 'tuan politik' dan boleh menyebabkan mereka dihukum.
"Berbaloi untuk katakan 'tidak'. Lebih baik lagi apabila kita memilih tindakan yang betul meskipun dihukum atau dipinggirkan," katanya kepada pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) pada mesyuarat di Petaling Jaya, malam ini.
Pesan berkenaan merupakan antara mesej yang sering disampaikan Mahathir ketika berjumpa penjawat awam.
Beliau sebelum ini membidas penjawat awam yang bersubahat dengan ahli politik dalam melakukan kesalahan pada pentadbiran kerajaan sebelum ini.
Anggota parlimen Langkawi itu juga berkata, beliau faham tugas penjawat awam adalah untuk mematuhi kerajaan yang memerintah.
"Tetapi ada hadnya. Bukan ikut saja. Kalau diberi arahan untuk mencuri, itu tak boleh. Jangan kita curi. Kita perlu berani untuk kata tidak," katanya.
Beliau juga mengingatkan pihak yang bersubahat dengan kerajaan melakukan kesalahan akan berdepan akibat apabila berlaku pertukaran kerajaan.
"Jika anda buat (kesalahan), anda tidak tahu bila kerajaan akan bertukar.
"Bila kerajaan bertukar, mereka perlu tanggung akibatnya," katanya.

