Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dan pengerusinya, Mohd Salleh Ismail memohon penangguhan bagi pendengaran rayuan bekas naib presiden PKR Rafizi Ramli di Mahkamah Rayuan hari ini.

Ini kali keempat kes itu ditangguhkan.

Muhammad Shafee berkata anak guamnya sedang melakukan penyelesaian terhadap kes berkenaan dan kes-kes yang berkaitan.

"Saya telah memaklumkan kepada peguam Rafizi bahawa kami telah menerima arahan untuk penangguhan perkara ini.

"Rundingan masih berlaku bagi penyelesaian sivil dalam kes ini dan prosiding dalam tiga perkara yang sama. Kebimbangan kami jika kes ini diteruskan, ia boleh menyebabkan ketidakselesaan dalam kes-kes lain," katanya kepada panel hakim.

Peguam Rafizi, Ranjit Singh memberitahu panel hakim yang diketuai hakim Hamid Sultan Abu Backer bahawa anak guamnya dan mereka sendiri tidak menyedari penyelesaian berkenaan dan menyerahkannya kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Ini menyebabkan Hamid meminta pihak-pihak terbabit untuk berunding dan tidak membazirkan masa mahkamah.

Selain Hamid, panel hakim yang terdiri daripada Hanipah Farikullah dan Kamaludin Md Said kemudian memutuskan penangguhan tersebut.

Selepas pengurusan kes, mahkamah menetapkan 13 Mei tahun depan untuk mendengar kes itu.

Rafizi sebelum ini membuat rayuan berhubung perintah membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 kepada NFC dan Salleh dan kos RM50,000 setiap satu kepada kedua-duanya.

Ini berikutan pendedahan Rafizi mengenai syarikat berkenaan dan Salleh.

NFC dan Salleh juga menyaman Malaysiakini bersama-sama Rafizi tetapi menggugurkan kesnya terhadap portal berita.

Selain kes ini, NFC dan Salleh juga memfailkan saman terhadap Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar kerana fitnah di Mahkamah Persekutuan, dan satu lagi terhadap Public Bank kerana didakwa mendedahkan maklumat sulit.