DAP mendakwa bahawa perlantikan pentadbir-pentadbir institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang lebih berdasarkan keputusan politik adalah antara punca mengapa prestasi universiti tempatan merosot.

Naib Ketua Pemuda DAP, Thomas Su Keong Siong berkata, perlantikan Naib Canselor dan timbalannya tidak dibuat berdasarkan kelayakan dan percapaian akademik.

"Ini menyebabkan pencapaian akademik di universiti-universiti jatuh mendadak. Universiti Malaya (UM) dari tempat 89 jatuh kepada 169 manakala Universiti Sains Malaysia (USM) terkeluar dari senarai 200 universiti terbaik dunia,"tegasnya.

Beliau berkata, perlantikan Naib Canselor dan timbalan-timbalanya oleh Menteri Pengajian Tinggi bukanlah satu tatacara yang dialu-alukan.

Menurutnya lagi, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang diperkenalkan sejak 1971 turut menyumbang kepada kemerosotan akademik tenaga pengajar, para pelajar dan institusi itu sendiri.

Katanya, akta tersebut menyekat kebebasan bersuara dan berfikir mahasiswa dan ahli akademik di institusi pengajian tinggi awam.

"Auku telah menyekat kebebasan mahasiswa untuk berucap, berkumpul dan berpersatuan secara aman dan juga mengongkong ahli akademik untuk mengemukakan pandangan," katanya dalam satu kenyataan.

Pimpinan BN

Sehubungan itu, katanya, Pemuda DAP akan mengadakan perbincangan untuk mengkaji Auku, membabitkan pertubuhan mahasiswa, pertubuhan hak asasi manusia dan peguam.

Pihaknya akan mengundang pimpinan Pemuda Barisan Nasional (BN), terutama wakil Pemuda MCA, Pemuda Gerakan dan MIC untuk sama-sama berusaha ke arah mengembalikan universiti-universiti kepada imej yang asal.

Perbincangan itu akan diadakan pada 11 Februari depan bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Selangor sebagai menyahut saranan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Shafie Salleh untuk mengkaji semula Auku.

"Namun, tuntutan kami lebih menjurus kepada pemansuhan Auku yang sedia ada, di mana pindaan terhadap peruntukan-peruntukan yang tertentu sahaja adalah tidak mencukupi," katanya.

Thomas berkata, perbincangan itu bertujuan menetapkan draf untuk rang undang-undang pemansuhan Auku yang akan dibawa ke dalam parlimen nanti.

Katanya, pihaknya berharap rang undang-undang tersebut dapat disiapkan secepat mungkin supaya dapat dibentangkan dalam sesi parlimen pada Mac depan.

Bengkel ini katanya, amat penting dan bolehlah dianggap sebagai suatu anjakan paradigma dalam gerakan pemansuhan akta itu.