Nga: Bawa isu hukuman mati ke jawatankuasa khas
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming mencadangkan agar isu pemansuhan hukuman mati dibawa kepada jawatankuasa mengkaji rang undang-undang (RUU) untuk dipertimbangkan.
Katanya, isu itu wajar dibawa ke peringkat jawatankuasa pilihan khas memandangkan ia melibatkan pelbagai interpretasi undang-undang dan turut mencetuskan perbahasan di kalangan rakyat.
“Seperti yang pernah dikatakan oleh menteri undang-undang, sekiranya kita nak mansuhkan hukuman mati ia melibatkan pindaan 33 seksyen bawah tujuh akta yang membawa hukuman mati.
“Isu ini tidak perlu dikendalikan secara terburu-buru (kerana) hukuman mati telah wujud sejak kemerdekaan lagi. Menyerahkan ia kepada jawatankuasa pilihan khas merupakan cara paling demokratik yang selaras dengan doktrin pengasingan kuasa yang mahu kita janjikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.
Katanya, langkah itu membolehkan penyelidikan menyeluruh dilakukan sebelum apa-apa keputusan diputuskan oleh parlimen.
“Ia boleh melibatkan rundingan meja bulat, road show untuk mendapat maklum balas rakyat daripada pelbagai lapisan, dan juga majlis pendengaran yang boleh menjemput dan mengambil pendapat daripada pakar-pakar perundangan,” katanya lagi.
Apabila ditanya adakah langkah itu hanya akan melengahkan lagi keputusan, Nga berkata ia sebaliknya akan menjimatkan masa kerana telah mengambil pendapat daripada kedua-dua pihak.
“Dalam jawatankuasa pilihan khas kita ada wakil kerajaan dan pembangkang, maka kita boleh singkatkan proses perbahasan kerana kedua pihak telah mencapai kata sepakat di peringkat jawatankuasa.
“Jika tidak, kita boleh saksikan, pindaan 33 seksyen di Dewan Rakyat mungkin mengambil masa berapa hari pun tak tahu, nanti bergaduh lagi.

