Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zambry enggan ikuti pendengaran PAC DUN Perak
Diterbitkan:  Nov 26, 2018 4:48 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

DUN PERAK | Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Perak akan melaporkan bantahan dan keengganan bekas Menteri Besar Perak Zambry Abd Kadir untuk mengikuti sesi pendengaran awam berhubung isu Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngeh Koo Ham, secepat mungkin.

Pengerusinya, Leong Cheok Keng bagaimanapun berkata setakat ini tiada sebarang hukuman atau tindakan disiplin akan dikenakan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor itu.

“Walaupun kita percaya kita ada kuasa sendiri menghukum sesiapa yang menghina DUN (Dewan Undangan Negeri) dan jawatankuasa dibentuk di bawah DUN termasuk PAC, kita membuat keputusan supaya tiada sebarang hukuman atau disiplin diambil hari ini.

“Kita akan merujuk perkara ini kepada speaker DUN supaya keputusan dibuat secara keseluruhannya,” kata beliau kepada pemberita selepas menangguhkan sesi pendengaran awam yang diadakan di Ipoh hari ini.

Sesi pendengaran awam itu terpaksa ditangguhkan selepas Zambry dan Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Aminuddin Hashim memutuskan untuk tidak akan disoal secara pendengaran awam di hadapan khalayak ramai.

Sesi PAC Perak hari ini dihadiri Leong, timbalan pengerusi Chong Zhemin yang juga Adun Keranji dari DAP; Adun Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor (Amanah); Adun Teja, Ng Shy Ching (PKR); dan Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria (PAS).

Dua lagi anggota PAC negeri - Adun Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim (BN) dan Adun Slim, Mohd Khusairi Abdul Talib (BN), tidak hadir pada sesi berkenaan.

Leong turut menyatakan bahawa Aznel dan Mohd Khusairi akan dikenakan tindakan sekiranya mereka masih enggan menghadiri sesi pendengaran awam itu.

Terdahulu, Zambry hadir pada kira-kira 10.10 pagi dan berhujah hampir 45 minit di hadapan Leong dan anggota PAC lain bahawa prosedur pendengaran awam tersebut disifatkannya tidak mengikut tata cara dan peraturan diamalkan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS