Adun PH tak setuju hadkan air percuma Selangor
Adun Sabak, Ahmad Mustain Othman menjadi satu-satunya wakil rakyat daripada Pakatan Harapan (PH) yang tidak setuju langkah kerajaan negeri meneruskan pemberian air percuma hanya kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang berdaftar dengan program e-Kasih.
Ahmad Mustain berkata langkah itu hanya akan meletakkan kerajaan negeri PH dalam risiko untuk jangka masa panjang.
"Sekiranya kita tidak dapat memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat negeri Selangor, janji-janji kita hanya di bibir sahaja. Tidak mustahil cinta dan sayang rakyat Selangor beralih kepada pembangkang.
"Walaupun jumlah air percuma dinaikkan dari 20 meter padu kepada 25 meter padu, tetapi bilangan yang menerimanya semakin berkurangan.
"Ini tidak baik untuk penambahan undi bagi calon-calon PH kerana makin ramai yang menerima, makin ramailah yang mengundi kita," katanya dalam sesi perbahasan Belanjawan Selangor 2019, di Shah Alam, hari ini.
Pada 23 November lalu, Menteri Besar, Amirudin Shari berkata program pemberian air percuma kepada rakyat Selangor akan hanya diberikan kepada golongan B40 yang berdaftar dengan program e-Kasih mulai tahun depan.
Program itu melibatkan program penduduk bandar berpendapatan kurang daripada RM1,500 atau penduduk luar bandar dengan pendapatan kurang RM1,000 sebulan.
Garis panduan persekutuan bagaimanapun mengelaskan golongan berpendapatan bawah RM3,855 sebulan sebagai golongan B40.
Cadang dikurang kepada 15 meter padu
Amiruddin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019 berjumlah RM2.56 bilion di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam berkata penjajaran semula program tersebut dibuat bagi memenuhi matlamat asal program iaitu meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
Justeru, katanya, mulai tahun depan, kadar percuma untuk 20 meter padu pertama setiap bulan akan dinaikkan kepada 25 meter padu bagi golongan B40 yang berdaftar dengan e-Kasih.
Amirudin ketika ditemui pemberita di sidang DUN Selangor hari ini berkata langkah tersebut terpaksa diambil ekoran pertambahan penduduk di Selangor yang melebihi dua juta orang sejak program tersebut dilaksanakan sejak 2008.
Mengulas lanjut, Ahmad Mustain mencadangkan supaya pemberian air percuma itu dikekalkan namun jumlahnya dikurangkan kepada 15 meter padu sahaja.
"Jadi saya mencadangkan supaya 20 meter padu itu dikurangkan kepada 15 meter padu. Jadi lebih ramai rakyat Selangor yang akan menerima air percuma dan lebih ramai yang akan mengundi PH dan akan lama lagilah BN merampas negeri Selangor.
"Biar (pemberian air percuma) dikurangkan kepada 15 meter padu, tetapi yang menerima lebih ramai jika dibandingkan kita naikkan kepada 25 meter padu tapi hanya untuk B40," katanya.

