Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini menuduh Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyalahkan 1MDB ke atas semua masalah kewangan yang dihadapi negara.

Melalui kenyataan di Facebook, Najib merujuk jawapan Lim di Dewan Rakyat hari ini mengenai pengaliran keluar dana haram, yang disifatkannya sebagai "mengecewakan".

"Apabila ditanya oleh Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee mengenai apa langkah-langkah diambil kerajaan dalam mencegah masalah ini, Lim ‘tai-chi’ kepada 1MDB," kata Najib.

Jelas Najib, pengaliran keluar dana haram dari Malaysia adalah satu masalah besar yang terjadi dari dulu lagi.

Masalah itu, katanya, dilakukan oleh syarikat-syarikat di Malaysia dengan cara melakukan perbezaan pemindahan harga tidak betul (transfer mispricing) berikutan perbezaan kadar cukai antara negara.

Najib juga merujuk laporan Global Financial Integriti berhubung perkara itu.

Untuk rekod, pentadbiran Najib sebelum ini menafikan laporan itu, sementara Bank Negara mendakwa jumlah yang dinyatakan adalah tidak tepat.

Bagaimanapun, Najib mendakwa pentadbirannya melaksanakan GST pada 2015 bagi menangani masalah itu.

"Lim pula memperlekehkan isu ini dan tiba-tiba memberi jawapan bahawa ini salah 1MDB walaupun 1MDB tidak ada kaitan langsung dengan pengaliran keluar dana haram melalui kaedah trade mispricing.

"Senang dia jawab ini kerana 1MDB dan kemudiannya bergaduh dengan ahli parlimen lain apabila mereka mendesak menteri kewangan menjawab dengan serius. Beginikah taraf menteri yang anda mahukan?" katanya.

Anggota parlimen Pekan itu juga mencabar Lim menjawab dua soalan.

Soalan pertama, Najib bertanya bagaimana hutang RM30 bilion pada ketika saiz ekonomi sebesar RM1.35 trilion, boleh menjejaskan negara tetapi skandal Forex RM33 bilion pada awal 1990an tidak, pada keitka saiz ekonomi hanya RM180 bilion.

Soalan kedua, Najib bertanya tentang hutang RM30 bilion yang dikatakan boleh menjejaskan negara tetapi pada masa sama kerajaan PH dapat mengumpul RM82 bilion dari Petronas untuk tahun ini dan tahun depan.

Najib sekali lagi mengakui bahawa meskipun 1MDB mempunyai masalah, ia boleh membayar balik semua hutang dan meraih untung setelah perjanjian penyelesaian dengan IPIC dicapai dan aset sedia ada seperti TRX dan Bandar Malaysia dimajukan.

Kata Najib, menyalahkan 1MDB adalah "jalan mudah", sedangkan isu pengaliran keluar dana haram ialah masalah yang amat berat.

"Kini tanpa GST untuk memantau dan mencegah masalah ini, apa yang kerajaan PH akan lakukan untuk mencegah syarikat-syarikat kita dari terus memindah keluar beratus bilion setiap tahun ke negara jiran.

"Jawab betul-betul. Ini bukan taman permainan. Ini sebuah kerajaan bagi sebuah negara," katanya.