Syarikat perkhidmatan teksi premium, Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd memberi jaminan tidak akan ada lagi penganjuran protes pemandu teksi sehingga Jan 2019.

Menurut penasihat syarikat itu, Shamsubahrin Ismail, ia susulan jaminan Menteri Pengangkutan Anthony Loke bahawa pemandu e-hailing harus membuat pendaftaran lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) mulai 1 Jan tahun depan.

Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan antara Shamsubahrin dan Loke di parlimen hari ini.

“Menteri beri jaminan bahawa tiada kompromi kepada pemandu e-hailing bagi menjaga periuk nasi pemandu-pemandu teksi. Sesiapa yang tak ambil dan mohon PSV mengikut syarat seperti menjadi pemandu teksi mulai 1 Jan, tindakan akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar bangunan parlimen hari ini.

Antara perkara yang dibangkitkan dalam pertemuan yang berlangsung selama kira-kira 45 minit itu, ialah program pendidikan sistem e-hailing kepada pemandu teksi, kawalan harga oleh e-hailing, dan juga masalah pembaharuan permit teksi biru yang kini menghadapi masalah.

Ketika disoal berhubung kemungkinan protes baru yang akan dianjurkan oleh pihaknya, Shamsubahrin menjelaskan akan berpegang pada ‘janji’ Loke.

“Pada saya (tiada protes baru), persatuan lain saya tak tahu. Penjelasan dan jaminan yang diberi menteri kepada saya, saya pegang pada janji itu,” katanya lagi.

Shamsubahrin dikenali sebagai pihak yang kerap menganjurkan perhimpunan pemandu teksi bagi menuntut penyedia perkhidmatan e-hailing ditutup oleh kerajaan.

Hari ini merupakan kali pertama perbincangan antara kedua pihak itu berjaya direalisasikan, selepas beberapa kali Shamsubaharin gagal bertemu menteri.

Sementara itu, Loke berkata beliau telah menjelaskan tentang keputusan yang diambil kementeriannya dalam pertemuannya dengan Shamsubahrin siang tadi.

“Saya jelaskan kepada beliau bahawa peraturan e-hailing ini telah pun digazetkan dan pendaftaran untuk pemandu-pemandu e-hailing ini akan bermula 1 Januari dan berakhir 12 Julai 2019.

"[...] Maksudnya menjelang 12 Julai 2019 kita akan kuat kuasakan peraturan baru iaitu semua pemandu e-hailing mesti ada pendaftaran dan lesen PSV, perlu ada insurans untuk kereta mereka dan kenderaan yang melebihi tiga tahun perlu buat pemeriksaan kenderaan.

“Itu adalah peraturan yang telah kita umumkan, kita hanya jelaskan kepada beliau sahaja," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.