Ahmad Maslan: Tak ada sebab Arul Kanda bohong aset, hutang 1MDB
Anggota parlimen Pontian Ahmad Maslan percaya tidak ada sebab untuk bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy berbohong tentang jumlah aset dan hutang 1MDB.
Biarpun dituduh sebagai satu-satunya ahli parlimen yang menyokong 1MDB oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Ahmad berkata tiada sebab untuk beliau perlu mempercayai laporan yang dikeluarkan oleh Lim.
Beliau mengimbas kenyataan Arul pada 19 Mac lalu bahawa bahawa hutang 1MDB berjumlah RM31 bilion, namun jumlah itu meningkat kepada RM38.3 bilion pada 7 Ogos dan melonjak kepada RM50.9 bilion pada 2 Nov lalu.
“Beliau (Lim) sebut hutang prinsipal (memang) betul RM31 bilion, tapi menteri sengaja campur faedah sehingga menjadi RM50.9 bilion.
“Pada saya prinsip perakaunan perlu disebut sebagai berapakah hutang semasa, sebab hutang itu boleh dibayar pada bila-bila waktu. Mustahil jadi RM50.9 bilion sebagaimana disebut menteri kewangan dalam ucapan beliau.
“Kenapa saya mesti percaya beliau (Lim) 100 peratus? Kenapa perlu saya tak percaya Arul Kanda 100 peratus? Itu pilihan saya untuk percaya (kenyataan) Arul bahawa aset 1MDB ialah RM42 bilion dan hutangnya RM31 bilion,” katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.
Terdahulu, Ahmad merupakan satu-satunya anggota parlimen yang tidak bersetuju dengan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat.
Beliau menjelaskan tindakannya itu adalah disebabkan Lim tidak menjawab soalan-soalan yang dikemukakannya.
“Kerana dia tak jawab lima lagi soalan saya, dia cuma jawab satu,” katanya.
Antara soalan yang tidak dimaksudkan Ahmad ialah tentang pengkorporatan kastam, sewaan bangunan milik Putrajaya Holdings, dan berhubung sejumlah RM688.7 juta peruntukan untuk perkhidmatan am perbendaharaan.
Ahmad juga mempersoalkan berhubung RM2.2 bilion subsidi faedah dan imbuhan tabung pinjaman, serta perihal bantuan-bantuan seperti bantuan orang bujang, KADS1M, subsidi RON95 dan BR1M.
Ahmad merupakan salah seorang anggota parlimen yang sering bangun mencelah ketika Lim berucap, meski jarang diberikan peluang oleh Lim.
“Biarlah saya satu-satunya ahli parlimen yang terus bertanya tentang 1MDB ini kerana saya yakin tidak ada sebab Arul ingin berbohong bahawa aset 1MDB ialah RM42 bilion mengatasi hutangnya RM31 bilion,” tambahnya lagi.

