Lembaga Makanan Pertanian dan Veterinar Singapura (AVA) melarang pelancong membawa masuk ayam, itik dan telur dari Indonesia, Malaysia and Thailand sekalipun untuk kegunaan sendiri dan dalam jumlah yang kecil.

Pelbagai jenis daging termasuk "bak kwa" atau daging panggang dari Malaysia dan Thailand juga tidak dibenarkan untuk dibawa masuk, kata agensi keselamatan makanan itu.

"Jika ragu-ragu, adalah dinasihatkan agar anda mengisytiharkan makanan anda kepada pegawai Penguatkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA)," demikian menurut satu garispanduan AVA yang dikeluarkan hari ini.

Undang-undang Singapura menghendaki seseorang mendapatkan permit daripada AVA sebelum mengimport makanan ke negara itu. AVA bagaimanapun sedar pelancong dari Singapura atau luar negara berkemungkinan ingin membawa makanan untuk kegunaan sendiri ketika melancong.

Menurut laporan Bernama, Agensi itu mengeluarkan garispanduan bersempena dengan musim perayaan apabila ramai orang akan melancong ke luar negara dan berkemungkinan membawa balik makanan untuk kegunaan sendiri.

Antara produk makan yang boleh dibawa masuk tanpa permit ke Singapura ialah sehingga lima kilogram seorang daging lembu, kambing, khinzir dan ternakan dari Australia, Brazil, Argentina dan New Zealand serta maksimum lima kilogram seorang makanan laut dari mana-mana negara.

Mereka juga boleh membawa masuk makanan yang telah diproses, kecuali daging dan produk makanan laut, buah-buahan segar dan sayur-sayuran, dari mana-mana negara.

Mereka yang ditangkap cuba membawa masuk produk terlarang itu boleh dikenakan denda sehingga S$50,000 (RM110,000), penjara tiga tahun atau kedua-duanya.